PUTRAJAYA 10 Dis. – Lebih ramai lagi individu termasuk ‘jerung’ akan didakwa dalam masa terdekat berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, seorang lagi iaitu jurutera Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Law Jenn Dong merupakan individu yang bakal dihadapkan ke mahkamah Isnin ini.
“Ini baru permulaan, apa yang telah diselesaikan (siasatan) akan diteruskan untuk kesalahan-kesalahan lain dan bukan bermakna dengan mendakwa tiga atau empat orang ini maka kes tutup.
“Apa yang saya tahu, semua yang disiasat merupakan ‘ikan besar’ kerana melibatkan jumlah wang yang besar,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed.
Di Mahkamah Sesyen Klang hari ini, tiga individu didakwa iaitu bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O. C. Phang; Ketua Eksekutif KDSB, Steven Abok dan seorang arkitek, Benard Tan Seng Swe.
Projek PKFZ yang menelan belanja besar menimbulkan tanda tanya apabila harga pembelian tanah mencecah RM1.088 bilion dan dengan mengambil kira tempoh bayaran balik 15 tahun kadar faedah 7.5 peratus setahun, kos keseluruhan pembelian tanah meningkat kepada RM1.807 bilion.
Kos keseluruhan PKFZ ialah RM4.6 bilion setelah mengambil kira pembelian tanah, kerja-kerja pembangunan dan faedah 7.5 peratus bagi bayaran tertangguh selama 10 tahun.
Bagaimanapun, Abdul Gani enggan mendedahkan identiti individu-individu terbabit walaupun mereka sudah dikenal pasti kerana bimbang akan mengganggu proses siasatan oleh polis dan SPRM.
Jelasnya, banyak lagi isu dan transaksi melibatkan skandal tersebut yang perlu disiasat secara lebih terperinci.
‘‘Namun, saya bagi jaminan ia akan selesai dalam tempoh terdekat kerana saya menganggapnya sebagai satu perkara yang amat serius,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya tidak akan memberi sebarang tekanan kepada polis dan SPRM agar siasatan ke atas skandal itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
Katanya, ia bagi mengelakkan wujudnya sebarang ketidakadilan dalam proses siasatan tersebut.
‘‘Saya tidak mahu beri sebarang tempoh masa kerana bimbang akan menyebabkan berlakunya siasatan yang tidak adil kepada suspek dan kami sendiri akibat siasatannya tidak sempurna,” katanya.- Utusan
* Kalau pembangkang tidak bising...
No comments:
Post a Comment