01 December 2009

Kes Liwat: Saiful Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tinggi Tetapkan Tarikh Perbicaraan

KUALA LUMPUR: Bekas Pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan pertuduhan kes liwat yang dikemukakan terhadapnya.

Peguam yang mewakili Saiful, Zamri Idrus berkata anak guamnya melahirkan rasa gembira keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

"Beliau (Saiful) sangat gembira dan bersyukur kepada Tuhan kerana akhirnya beliau akan dapat memberi keterangan mengenai kes liwat itu.

"Saiful telah lama bersedia untuk memberi keterangan, hampir satu setengah tahun kes ini tertanguh, alhamdulillah akhirnya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan," katanya ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Menurut Zamri, Saiful amat berharap pihak tertuduh tidak lagi mencari alasan supaya kes tersebut ditangguhkan lagi.

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan pertuduhan liwat yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah turut menetapkan 25 Januari hingga 27 Februari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Saiful,23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000. - Mstar

No comments:

Post a Comment