30 December 2009

Kes liwat: Rayuan terakhir Anwar didengar 6 Januari

PUTRAJAYA 29 Dis. - Rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan semua dokumen penting pendakwaan dan contoh spesimen Mohd. Saiful Bukhari Azlan bagi pembelaan kes liwatnya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 6 Januari ini.

Tarikh tersebut dimaklumkan melalui faksimile yang dihantar oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di sini ke pejabat peguamnya, S.N. Nair hari ini.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan pendakwa raya dan menolak rayuan balasnya bagi mendapatkan dokumen-dokumen tersebut.

Pada 6 November lalu, panel tiga hakim diketuai Datuk Hasan Lah sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar dia dibekalkan dengan dokumen pendakwaan bagi menyediakan pembelaannya.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Sulaiman Daud turut menolak rayuan balas pemimpin pembangkang itu supaya dia diberikan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 24, yang juga pengadu kes.

Pada 16 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan Anwar agar pendakwa raya membekalkan dokumen-dokumen penting bagi membantu beliau menyediakan pembelaannya.

Antara dokumen tersebut ialah rakaman percakapan Mohd. Saiful Bukhari; Dr. Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi; pemilik kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga lagi saksi.

Dokumen lain yang gagal diperoleh oleh Anwar termasuk laporan perubatan pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), laporan kimia dan senarai saksi pendakwaan.

Ia juga melibatkan rakaman Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) dari pondok pengawal di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara dan kawasan lif Blok 11 kondominium itu di antara 25 dan 27 Jun tahun lalu.

Ketua pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.- Utusan

No comments:

Post a Comment