30 December 2009

JHEAIK sahkan perkahwinan kedua Sultan Kelantan

KOTA BHARU 29 Dis. – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) hari ini mengesahkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra telah berkahwin dengan isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad, 30, pada 31 Disember 2007.

Pernikahan itu disahkan oleh Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai, Rujuk JHEAIK, Hasnan Ramli ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini lewat petang ini.

“Saya hanya boleh mengesahkan perkahwinan Sultan Kelantan dengan isteri kedua baginda itu,’’ katanya.

Semalam akhbar The Malay Mail dalam versi online melaporkan misteri identiti salah seorang daripada dua wanita yang dibawa melawat Sultan Ismail Petra yang gering di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada pukul 4.20 pagi 8 Oktober lalu.

Laman web tersebut semalam melaporkan pengakuan Elia Suhana sebagai isteri kedua Sultan Kelantan.

Elia Suhana dalam laman web tersebut mendakwa terpaksa mendedahkan kedudukan sebenar dirinya bagi memperbetulkan laporan akhbar Malay Mail pada 21 Disember lalu yang menyiarkan berita dua wanita dibawa secara senyap-senyap ke hospital itu bagi melawat Sultan Kelantan.

Penyiaran berita yang bertajuk Police Ruckus In Royal Ward dalam akhbar itu didakwa Elia Suhana telah menimbulkan pandangan negatif terhadap baginda, institusi kesultanan dan polis istana.

Utusan Malaysia hari ini turut menerima kenyataan akhbar setebal lima muka surat melalui faks yang ditandatangani Elia Suhana dan dikatakan turut dihantar kepada semua media untuk membuat penjelasan itu.

Turut dilampirkan salinan sijil perkahwinan serta kad perakuan nikahnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment