03 December 2009

Hukuman penjara Pek Ha dikurangkan enam tahun

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengubah hukuman penjara daripada 18 tahun kepada 12 tahun terhadap suri rumah, Yim Pek Ha yang disabitkan atas tiga tuduhan mencederakan pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu setelah mengekalkan dua sabitan salah terhadap wanita itu dan membatalkan satu lagi pertuduhan.

Pek Ha sebelum ini dihukum penjara 18 tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan mencederakan Nirmala menggunakan seterika dan air panas tetapi dibebaskan daripada satu lagi tuduhan iaitu mencederakan mangsa menggunakan cawan besi.

Dalam keputusannya hari ini, Azman menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap tuduhan mencederakan Nirmala menggunakan seterika dan air panas.

Azman turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Pek Ha setelah mensabitkan semula wanita itu dengan tuduhan mencederakan mangsa menggunakan cawan besi.

Ketiga-tiga hukuman itu berjalan berasingan. Beliau turut membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. - Utusan

No comments:

Post a Comment