NIBONG TEBAL: Seorang guru didakwa di Mahkamah Majistret Jawi atas tuduhan mencabul seorang murid perempuan berusia lapan tahun, semalam.
Bagaimanapun, tertuduh, Anuar Sha’ari, 47, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Izham Ali.
Tertuduh didakwa melakukan kekerasan ke atas mangsa dalam kelas muzik di sebuah sekolah rendah di Jawi pada 17 November lalu antara jam 3 dan 4 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amir, manakala tertuduh diwakili peguam, Sudesh Singh.
Mohd Izham menetapkan 20 Januari 2010 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam prosiding yang sama, Yusaini meminta mahkamah supaya menetapkan RM10,000 sebagai jumlah ikat jamin.
Bagaimanapun, Sudesh meminta jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh mempunyai tanggungan yang ramai.
Selain itu, Sudesh juga menjelaskan bahawa rumah tertuduh hanya terletak di Sungai Bakap, dekat sini, yang tidak membolehkannya lari ke mana-mana sementara menunggu prosiding pada 20 Januari depan.
Mohd Izham kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin yang dibayar bapa mentuanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment