BAGHDAD 8 Dis. - Sekurang-kurangnya 118 maut, sementara 261 yang lain cedera apabila satu siri serangan termasuk tiga insiden pengeboman kereta, menggegar Baghdad hari ini, dalam satu gelombang keganasan terburuk di ibu negara itu dalam tempoh lebih sebulan.
Empat serangan itu termasuk satu pengeboman nekad kereta ke atas sepasukan polis peronda, menunjukkan kemampuan pemberontak untuk menyerang sasaran berprofil tinggi di tengah-tengah Baghdad dan ia juga merupakan kali ketiga sejak Ogos lalu di mana bangunan kerajaan menjadi sasaran dengan beberapa letupan yang mengakibatkan jumlah korban yang besar.
Serangan di tengah-tengah bandar Baghdad itu menyaksikan tiga insiden pengeboman yang berlaku berturut-turut dalam tempoh hanya beberapa minit antara satu sama lain.
Ia disasarkan secara terus kepada pihak berkuasa Iraq iaitu berhampiran kawasan bangunan Kementerian Buruh, kompleks mahkamah berdekatan Zon Hijau yang dilindungi dan berhampiran tapak baru Kementerian Kewangan selepas bangunan lamanya musnah dalam satu serangan besar pada Ogos lalu.
Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata, sekurang-kurangnya 99 terbunuh dalam tiga kejadian pengeboman kereta itu, manakala sekurang-kurangnya 192 yang lain dilaporkan cedera.
Kira-kira satu jam sebelum siri serangan itu, seorang pengebom nekad yang menaiki kereta, merempuh sepasukan polis peronda di daerah Dora, selatan Baghdad, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga anggota polis dan seorang orang awam serta mencederakan lima yang lain.
Polis Iraq berkata, sekurang-kurangnya satu daripada letupan di tengah-tengah Baghdad dilakukan pengebom nekad yang memandu ambulans yang sarat dengan bahan letupan ke arah bangunan Kementerian Kewangan.
Dua lagi insiden letupan kereta dilaporkan berlaku tengah bandar ini dipercayai dicetuskan menerusi alat kawalan masa atau picu. - AP
No comments:
Post a Comment