28 December 2009

Ean Yong terkejut sikap ketua polis Selangor

Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah melahirkan rasa terkejutnya terhadap polis Selangor yang mendakwa beliau mengarahkan polis menghentikan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Dalam ucapan tersebut, Guan Eng meluahkan pendapat bahawa Teoh Beng Hock dibunuh dan ucapan tersebut dianggap sebagai cuba menghasut dan mempengaruhi orang awam oleh pihak polis," katanya hari ini.

"Sebenarnya (dalam) kenyataan di Malaysiakini, saya hanya menyeru kepada pihak polis supaya menghentikan siasatan ke atas Guan Eng dengan serta-merta, kerana rakyat ingin polis menyiasat kisah sebenar kematian Teoh."

Bekas ketua Teoh itu, yang mati dalam keadaan kontroversi Julai lalu sewaktu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengulas kenyataan ketua polis Selangor semalam.

Datuk Khalid Abu Bakar dipetik berkata polis ingin mengambil keterangan daripada Ean Yong, juga ADUN Seri Kembangan, bagi membantu siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ean Yong menambah, beliau sedia disiasat polis berhubung kenyataannya itu.

"Jika polis mendapati saranan (saya) sebegini keterlaluan, mereka boleh membuat keputusan dengan sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya ingin menegaskan bahawa walaupun saya merupakan seorang ahli exco, tetapi saya langsung tiada sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak polis untuk membuat sesuatu. Hanya menteri dalam negeri atau perdana menteri mempunyai kuasa tersebut."

Sementara itu seorang lagi wakil rakyat DAP mempertikaikan kenyataan Khalid itu yang disifatkan tindakan "berat sebelah".

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San mempersoalkan tindakan itu dengan alasan Khalid tidak mengambil tindakan sama – polis sendiri membuat aduan – terhadap peserta dan penganjur demonstrasi mengarakkan kepala lembu, Ogos lalu.

"Jika polis ingin dilihat sebagai menjalankan tugas dengan bertanggungjawab, adil, saksama dan tidak berat sebelah, maka kedua-dua persoalan di atas tidak harus berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lau, yang juga setiausaha DAP Selangor, turut mempersoalkan sikap polis terhadap aduan-aduan beliau sendiri berhubung kenyataan menghasut oleh wakil-wakil Umno semasa di perhimpunan agung beberapa tahun yang lepas?

"Mengapakah tidak boleh polis Selangor melakukan (tindakan) yang sama apabila golongan sayap kanan dan ekstremis perkauman Umno mengeluarkan kenyataan yang lebih bersifat menghasut?" katanya. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment