IPOH: Seorang penunggang motosikal wanita dan seorang remaja lelaki cedera parah dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang suspek yang baru sahaja mencuri kereta berkenaan di sini hari ini.
Suspek berusia 26 tahun itu merempuh mangsa semasa cuba melarikan diri apabila dikejar sebuah kereta peronda polis di Jalan Jelapang pada kira-kira 2 petang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias, berkata wanita berusia 34 tahun dan pemboncengnya mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri semasa dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
"Suspek berkenaan diberkas di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini.
Azisman berkata, insiden itu berlaku sejurus polis menerima laporan kes kecurian sebuah kereta Proton Waja di Taman Pertama, Silibin.
"Beberapa minit selepas laporan kes diterima, sebuah kereta peronda polis mengesan kereta disyaki tidak jauh dari kawasan berkenaan dengan nombor pendaftaran yang telah ditukar," katanya.
Beliau berkata, suspek tidak mengendahkan arahan polis untuk berhenti dan diburu sejauh kira-kira lima kilometer sebelum terbabas melanggar kedua-dua mangsa.
"Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek untuk membantu siasatan," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment