09 December 2009

Dr M Jawab Nazri; Ulas Hubungan 2 Hala M'sia-Indon

KUALA LUMPUR: "Dia adalah ahli UMNO. Dia patut letak jawatan," kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai selaran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz terhadapnya mengenai isu Biro Tata Negara (BTN).

Bekas Perdana Menteri itu turut menambah, Umno sendiri adalah sebuah parti bersifat perkauman yang membela nasib orang Melayu.

Oleh itu, beliau berkata, tidak ada sebab mengapa kursus BTN tidak dapat diteruskan.

Beliau ditemui pihak media selepas membentangkan ucapan bertajuk 'Peluang dan Cabaran Hubungan Dua Hala Malaysia-Indonesia dari Perspektif Ekonomi, Politik dan Sosial' di seminar 'Merangka Kerjasama Ekonomi Malaysia-Indonesia Menghadapi Krisis Global:Peluang Dan Cabaran Dari Perspektif Media Dan Perniagaan' semalam.

Seminar itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Seminar yang berdasarkan perkembangan semasa itu turut melibatkan dialog Malaysia-Indonesia antara wartawan kedua-dua buah negara.

"Peranan media amat besar dalam merapatkan hubungan antara Malaysia-Indonesia. Kita patut bekerjasama untuk kebaikan kedua-dua negara," kata Dr Mahathir lagi.

Dr Mahathir juga memohon pihak media supaya tidak memperbesar-besarkan isu kecil yang melibatkan kedua-dua buah negara kerana ini hanya akan membuka ruang kepada media antarabangsa lain memanipulasikan keadaan.

"Pihak ketiga akan mengambil peluang untuk melaga-lagakan kita. Ini akan menimbulkan ketakutan kepada orang luar yang hendak berkunjung ke kedua-dua buah negara," ulasnya lagi.

Beliau turut berharap segala laporan negatif melibatkan Malaysia-Indonesia perlu segera diselesaikan kerana ruang damai sentiasa ada bagi menyelesaikan masalah.

Tanpa menafikan masalah-masalah seperti pendatang tanpa izin dan tuntutan wilayah bertindih telah mencalar hubungan dua hala, Dr Mahathir menyifatkan kemelut itu sebagai perkara kecil dan ruang perbincangan sentiasa akan dapat menyelesaikan masalah.

"Sama ada laporan itu benar atau tidak kita boleh berbincang. Melalui perbincangan boleh meredakan salah sangka antara kedua-dua belah pihak," ujar beliau.

Dr Mahathir turut mencadangkan agar seminar yang sama dapat diadakan di Indonesia tahun hadapan supaya hubungan dua hala Malaysia-Indonesia akan dapat diperkukuhkan.

"Tak kenal maka tak cinta. Apabila ada hubungan rapat media antara dua negara, pasti pelbagai kekalutan yang timbul dapat diselesaikan," katanya secara berseloroh.

Pada seminar itu, Dr Mahathir turut menyingkap sejarah Malaysia-Indonesia sejak dari era penjajahan.

Katanya, yang membezakan kedua-dua buah negara ialah Malaysia dijajah oleh British manakala Indonesia pula oleh Belanda.

Beliau menyatakan, melainkan sempadan yang dicipta oleh penjajah, hakikatnya tiada jurang perbezaan yang ketara antara kedua-dua buah negara pada ketika itu dan apabila negara masing-masing mencapai kemerdekaan, barulah terdapat sedikit jurang perbezaan disebabkan dasar negara yang berbeza-beza.

Menyifatkan hubungan Malaysia-Indonesia bagaikan sebuah keluarga, beliau berharap hubungan baik antara kedua-dua buah negara akan terus kekal baik.

"Indonesia macam abang dan Malaysia macam adik. Kita satu keluarga. Identiti dan matlamat kita juga serupa," katanya.

Dalam sesi dialog, Dr Mahathir turut menyatakan orang Malaysia yang kebanyakannya berasal dari tanah Jawa, Sumatera serta beberapa daerah lain di nusantara telah membawa bersama mereka budaya dan kesenian dari tempat asal mereka ke Malaysia.

"Kita seharusnya memperkenalkan budaya itu ke peringkat dunia untuk budaya kita lebih dikenali.

"Sepatutnya perkara ini dapat merapatkan hubungan kita bukan menimbulkan perbalahan sesama kita," katanya merujuk kepada kontroversi yang melanda Malaysia-Indonesia baru-baru ini ekoran perbalahan soal budaya tertentu milik siapa.

Menurut Dr Mahathir, suara Malaysia-Indonesia perlu senada supaya pendirian bersama akan lebih mudah didengari di peringkat antarabangsa.

"Peluang untuk kita bekerjasama sentiasa terbuka luas kerana kepentingan dan matlamat kita adalah sama," katanya lagi.

Beliau turut menambah, jika suara bersama ini bergabung di peringkat antarabangsa, kekuatan serta peranan kedua-dua buah negara akan lebih nyata. - Mstar

No comments:

Post a Comment