KUALA LUMPUR 1 Dis. - "Saya bersyukur dengan apa yang diperoleh setakat ini, namun perjuangan belum selesai, banyak lagi halangan dan cabaran menanti di hadapan"
Demikian reaksi bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan selepas permohonan bekas majikannya itu untuk membatalkan pertuduhan liwat yang dihadapinya ditolak mahkamah hari ini.
Bagaimanapun, Mohd. Saiful berkata, beliau yakin tertuduh akan cuba sedaya upaya untuk menghalang perbicaraan itu daripada diteruskan.
"Walaupun apa yang terjadi, saya akan terus istiqamah dan bersabar. Tidak sesekali saya menyerah kalah," katanya dalam blog http://mohdsaifulbukhari. blogspot.com hari ini.
Pada 7 Ogos tahun lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful.
Anwar dibebaskan dengan jaminan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin sementara menunggu perbicaraan kes.
Bagaimanapun, perbicaraan kes itu tertangguh apabila Anwar mengemukakan pelbagai permohonan termasuk membatalkan pertuduhan itu sebelum ini.
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah hari ini menolak permohonan Anwar itu dengan alasan laporan perubatan dalam kes itu tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah membatalkan pertuduhan terhadapnya.
Hakim itu kemudian menetapkan perbicaraan kes liwat itu pada 25 Januari tahun depan.
Mohd. Saiful berkata, keputusan mahkamah itu menjadi pemangkin dan pembakar semangat meneruskan perjuangan bagi mendapatkan keadilan untuk dirinya.
Katanya, Anwar tidak perlu lagi menuduh mahkamah tidak adil memandangkan sudah banyak kelebihan dan kelonggaran diberi kepadanya sebelum ini.
Tambahnya, tindakan tertuduh memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, Rabu ini diharap tidak mengambil masa lama untuk didengar dan diputuskan.
Mohd. Saiful berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan dan doa kepadanya dalam berhadapan kes yang tertangguh sekian lama itu.
"Berkat doa semua pihak, setelah enam bulan saya bersabar menanti kesudahannya, akhirnya mahkamah menetapkan keputusan ini. Saya benar-benar terharu dengan doa dan sokongan yang diberi," ujarnya. - Utusan
* Kalau hanya peringkat ADUN disogak 4 juta untuk lompat parti...
No comments:
Post a Comment