KUALA LUMPUR 30 Dis. - Seorang bekas rakan sepejabat Raja Petra Raja Kamaruddin di akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu ketika dahulu iaitu 'Seruan Keadilan' sedih dengan nasib anak keduanya, Raja Azman, 33, yang hidup dalam kesusahan.
Azwanddin Hamzah yang juga bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, Raja Azman kini menganggur selepas dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah.
Katanya, keadaan itu amat tidak adil kerana Raja Petra dan isterinya Mable @ Marina Lee hidup di sebuah kediaman mewah di London manakala anaknya di tanah air dibiarkan terkontang-kanting.
"Selepas Raja Petra melarikan diri kami terputus hubungan namun dia masih berhubung dengan beberapa blogger yang memberitahu mereka berdua hidup di sebuah kediaman mewah di London.
"Saya amat terasa dengan maklumat berkenaan kerana mengetahui kesusahan yang ditanggung Raja Azman sehingga terjebak dengan aktiviti jenayah dan dihadapkan ke mahkamah malah masih menganggur sehingga sekarang" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mengesahkan Raja Petra yang menjadi buruan polis sejak hampir lapan bulan lalu, kini berada di London, United Kingdom (UK).
Sebelum ini sumber polis mendedahkan dia dipercayai menetap di sebuah pangsapuri mewah Gloucester Terrace, Bayswater.
Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui web kendaliannya, Malaysia Today.
Sementara itu, Raja Azman pula didakwa mencuri sebuah motosikal Yamaha RXZ bernilai RM8,000, memecah masuk sebuah rumah di Shah Alam dan mencuri sebuah telefon bimbit Nokia dan jam tangan Seiko serta serangkai kunci motosikal yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM3,850 dari kediaman seorang pelajar.
Dalam perkembangan berkaitan, Azwanddin yang merupakan bekas Ketua AMK Wilayah Persekutuan turut membidas Raja Petra kerana menggambarkan dirinya sebagai seorang pejuang keadilan namun dia sendiri tidak pernah adil kepada keluarganya.
Katanya, perkara itu menunjukkan sikap sebenar Raja Petra yang buat-buat tidak nampak perkara pokok di depan mata tetapi sibuk pula dengan usaha untuk menterjemahkan imaginasi politiknya yang liar.
Beliau turut mempertikaikan kenapa Raja Petra tidak berkorban dengan membantu anak sendiri sebagaimana dakwaan dia selama ini kononnya telah banyak berkorban dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran.
"Dia bercerita pasal negara, cuba mengatur politik Malaysia tapi apa jadi kepada Raja Azman, kenapa tidak beri ruang kepadanya, tahukah sama ada dia cukup makan, kerjanya ada atau tidak.
"Malulah kalau begini, kononnya mahu menjadi pemain catur politik negara tapi politik keluarga sendiri gagal, bukankah berkorban untuk anak sendiri lebih penting daripada pengorbanan khayalannya selama ini," katanya. - Utusan
* Anak nabi Nuh kufur macamana? ...Juga simpati anak diberi hasil curi duit rakyat.
No comments:
Post a Comment