23 December 2009

Avionik F-5E turut hilang – Zahid

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Selain dua enjin pesawat F-5E, beberapa peralatan lain didapati turut hilang daripada inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kejadian dua tahun lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mendedahkan perkara itu berkata, peralatan itu termasuk alat ganti pada sistem avionik pesawat berkenaan.

“Selain dua enjin itu, ada peralatan berkaitan yang turut hilang dalam kelompok (range) sama, avionik,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Maldives, Ameen Faisal di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Sabtu lalu, beberapa akhbar tempatan melaporkan kehilangan sebuah enjin pesawat pemintas F-5E TUDM pada 2007 iaitu ketika proses penghantarannya ke negara luar untuk diperbaiki.

Empat individu termasuk orang awam dan anggota pangkat lain TUDM dikenal pasti terlibat dalam kes yang kini disiasat polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hari ini, akhbar mendedahkan bahawa sebenarnya bukan satu tetapi dua enjin pesawat jenis itu yang dilaporkan hilang pada tahun sama dan dijual ke salah sebuah negara di Amerika Latin.

Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid menegaskan, terdapat ramai lagi individu terlibat secara tidak langsung dalam kes berkenaan selain empat yang disebut sebelum ini.

“Memang kita akan lakukan sesuatu kepada pegawai atasan dalam perkhidmatan berkaitan (TUDM) yang bertanggungjawab semasa ia (kehilangan) berlaku,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, ada antara individu yang dikenal pasti terlibat dalam kes itu masih berkhidmat dengan ATM dan Kementerian Pertahanan kerana tindakan lanjut ke atas mereka akan hanya ditentukan selepas menerima nasihat Pejabat Peguam Negara.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal, pembelian enjin itu dibuat sebuah syarikat yang berpangkalan di ibu kota serta mempunyai cawangan di negara jiran.

“Saya juga fikir syarikat itu mempunyai rangkaian antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan individu yang terlibat dalam skandal kehilangan enjin dan peralatan pesawat itu sebagai pengkhianat serta penderhaka negara.

Katanya, walaupun sistem rekod dan inventori peralatan ATM berada pada tahap terbaik tetapi masih terdapat ‘penderhaka’ yang sentiasa mencari jalan menembusi sistem tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment