24 December 2009

Anwar tidak boleh "pancing maklumat" daripada pendakwaan

PUTRAJAYA 24 Dis. - Seseorang tertuduh yang menghadapi dakwaan jenayah tidak dibenarkan “memancing maklumat” kepunyaan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu pada 6 November ketika membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya dokumen dan maklumat lain yang diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 51 dan 51A Kanun Prosedur Jenayah dibekalkan untuk beliau menyediakan pembelaan terhadap tuduhan liwat terhadapnya.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 21 Disember yang diperoleh media hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hasan Lah memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memerintahkan pendakwaan supaya membekalkan dokumen dan bahan berkenaan kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan berkata, ia mentafsirkan dengan tegas Seksyen 51 kanun berkenaan dan mengehadkan kuasa budi bicaranya berhubung permohonan untuk memperoleh dokumen berkenaan di peringkat pra perbicaraan.

"Melainkan apa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 51A kanun berkenaan, responden tidak berhak untuk memperoleh atau memeriksa keterangan atau bahan yang berada dalam pemilikan pendakwaan sebelum perbicaraan bermula,” kata Hakim Hasan.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment