24 December 2009

Anak MB K'tan 'tidak tahu etika berjemaah'

Anak perempuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan "tidak tahu etika berjemaah" apabila terus tampil mempersoalkan peranan pemimpin PAS dalam menangani kontroversi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Setiausaha PAS Kelantan berkata, kenyataan Nik Amalina semalam - yang menuduh pemimpin PAS lain membisu dan membiarkan Nik Aziz, sebagai menteri besar, keseorangan menjawab isu tersebut - juga "tidak betul".

"Kekusutan ini berilah pada Tok Guru (Nik Abdul Aziz) untuk selesaikannya. Bukan berlumba-lumba membuat kenyatan di akhbar," kata Mohamad Zaki Ibrahim kepada Malaysiakini.

"Nik Amalina ini tidak tahu etika berjemaah. Kita sudah 19 tahun memerintah Kelantan. Kalau kita tidak (bertindak secara) kolektif, sudah lama dah jatuh."

Anak Nik Abdul Aziz itu isteri Abdul Ariffahmi Ab Rahman, ketua pegawai eksekutif PMBK, yang dipaksa meletakkan jawatan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Oktober lalu.

Abdul Ariffahmi menyerahkan notis peletakan jawatannya, yang berkuatkuasa 23 Mac tahun lalu, semalam.

Nik Amalina, anak kesembilan daripada 10 adik-beradik, sebelum ini pernah ditegur oleh ketua penerangan PAS Idris Ahmad dengan alasan tulisan di blognya "membuka pekung di dada".

Sebelum membuka Seri Suri pada 11 Disember lalu, wanita itu pernah meluahkan rasa hatinya berhubung kontroversi suaminya itu melalui blog ahli parlimen PAS Dr Siti Mariah Mahmud, hujung bulan lalu.

Mohamad Zaki berkata, PAS Kelantan di pelbagai peringkat tidak pernah membiarkan Nik Aziz keseorangan, sebaliknya berusaha menyelesaikannya melalui saluran dalaman.

"PAS negeri ada Dewan Harian. Kita bincang isu parti ini setiap Selasa dalam Dewan Harian. Tidak semestinya semua keputusan itu kita hebahkan kepada media," katanya, yang juga ADUN Kelaboran.

Ditanya sama ada tindakan berdiam diri pemimpin-pemimpin PAS menimbulkan tanggapan negatif, antaranya seolah-olah memberi gambaran Nik Abdul Aziz bersalah, Mohamad Zaki berkata:

"Bagi kita, isu ini melibatkan menantu Tok Guru. Kalau bukan keluarga Tok Guru, suasana mungkin berbeza. Sebab menantu, kita minta diselesaikan cara baik."

Sejak meletus isu PMBK, Nik Abdul Aziz dilihat keseorangan membela diri dan menantunya - hanya beliau, Abdul Ariffahmi, Nik Amalina dan seorang anak lelakinya Nik Abduh berhempas-pulas mempertahankan anggota keluarga mereka.

Keadaan ini berbeza sekali sebelum ini apabila isu yang dihadapi Kelantan atau Nik Abdul Aziz dipertahankan dan diperjelaskan oleh beberapa pemimpin lain, misalnya keengganan kerajaan pusat membayar wang royalti petroleum dan juga doa bala terhadap pemimpin Umno.

Kelantangan Nik Abdul Aziz menentang idea kerajaan perpaduan PAS-Umno yang disuarakan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat sokongan beberapa lagi pemimpin PAS.

Dalam isu PMBK, beberapa pemimpin kanan parti antaranya Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar terus mempersoalkan keengganan Abdul Ariffahmi berundur awal. Idris pula menempelak Nik Amalina.

Manakala exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, sebagai anak didik Nik Abdul Aziz, pula tidak menyentuh langsung kemelut PMBK.

Mahfuz dan Husam, dalam isu kerajaan perpaduan PAS-Umno, berada sebarisan dengan menteri besar itu, yang juga mursyidul am parti.

Sumber yang rapat dengan Abdul Ariffahmi memberitahu Malaysiakini, Husam malah didakwa dalang di sebalik kontroversi berterusan terhadap anggota keluarga tokoh besar PAS itu.

Husam dituduh menggunakan penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz - pegawai perhubungan korporat PMBK yang dipecat Abdul Ariffahmi - untuk membuat serangan di internet.

Difahamkan mereka yang dekat dengan Husam menyatakan bahawa exco negeri itu tidak mahu campur tangan dalam isu di syarikat berkaitan kerajaan itu.

Dr Rosli Allani Abd Kader – ketua penerangan PAS Kelantan yang meletakkan jawatan kelmarin – yang pernah berkhidmat sebagai pegawai Husam juga lantang mendesak pengunduran peneraju PMBK itu.

Bercakap kepada Malaysaikini hari ini, Dr Rosli bagaimanapun menafikan tanggapan kenyataannya didalangi Husam.

"Saya bukan proksi sesiapa. Saya ada prinsip dan pendirian saya sendiri," katanya, bekas exco pusat Pemuda PAS.

Sumber lain pula berkata, Husam enggan terbabit kerana penglibatannya tidak membawa keuntungan politik kepadanya.

"Tindakan Syed Azidi dan Dr Rosli (mempersoalkan Abdul Ariffahmi) lebih kepada pertembungan peribadi," kata sumber. - Malaysiakini

* Tok Guru tak ada, belum tentu PAS perintah Kelantan.

No comments:

Post a Comment