BAGHDAD 10 Dis. - Perdana Menteri, Nuri al-Maliki hari ini disoal oleh ahli-ahli Parlimen yang berang dengan kegagalan pasukan keselamatan untuk mencegah serangan pengebom al-Qaeda yang membunuh 127 orang di ibu negara ini, kelmarin.
Maliki semalam, memecat ketua keselamatan Baghdad, Jeneral Abbud Qanbar berhubung letupan-letupan bersepadu yang turut mencederakan 450 orang itu.
Maliki mengambil tindakan itu selepas polis mendakwa para pengebom berani mati mendapat sokongan kumpulan-kumpulan di Syria atau Arab Saudi.
Bagaimanapun sebuah kumpulan berkaitan al-Qaeda, Negara Islam Iraq (ISI) kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan di forum puak militan dengan mendakwa anggotanya melancarkan serangan bom tersebut, menurut kumpulan pemantau Amerika Syarikat (AS), SITE.
Kenyataan yang diterjemahkan oleh SITE semalam mengancam untuk melancarkan lagi serangan, sambil menggambarkan serangan terbaru itu sebagai 'gelombang ketiga' dalam kempen ISI, berikutan letupan-letupan pada 19 Ogos dan 25 Oktober lalu yang meragut lebih 100 nyawa.
Ahli Parlimen menuntut jawapan berhubung serangan kelmarin, yang membunuh lebih ramai mangsa berbanding angka korban dalam seluruh bulan November, sekali gus menidakkan dakwaan kerajaan bahawa keadaan keselamatan semakin baik menjelang pilihan raya 7 Mac depan.
Menteri Dalam Negeri, Jawad al-Bolani Bolani yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis turut mengesahkan kesediaannya untuk disoal oleh ahli Parlimen.
"Saya bersedia untuk pergi ke Parlimen dengan syarat sidang itu dibuka kepada orang awam," katanya.
Dalam pada itu Maliki memecat pegawai kanan tentera yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di Baghdad.
"Nuri al-Maliki selaku ketua panglima angkatan bersenjata mengarahkan pemecatan Leftenan Jeneral Abbud Qanbar daripada jawatannya," menurut satu kenyataan dari pejabat Perdana Menteri malam tadi.
Leftenan Jeneral Ahmed Hashem Awudeh akan mengambil alih jawatan Qanbar.
Sebelum itu, ketua unit bahan letupan polis Iraq, Mejar Jeneral Jihad al-Jaabiri berkata, bahan letupan yang digunakan dalam serangan tersebut dibuat di luar negara dan pengebom mendapat sokongan kumpulan tertentu di Syria atau Arab Saudi.
Lima letupan bom di Baghdad kelmarin berlaku dalam tempoh hanya beberapa minit. - AFP
No comments:
Post a Comment