ALOR SETAR - "Saya terasa motosikal yang ditunggangi saya berat sebelum saya toleh dan nampak ibu saudara saya sudah tergolek di tengah jalan."
Demikian cerita anak saudara kepada Fatimah Salleh (gambar kecil), 66, yang terjatuh dari motosikal yang dibonceng selepas beg digalasnya diragut seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal lain di Jalan Langgar-Pendang dekat sini malam kelmarin.
Kejadian berlaku pada pukul 10.30 malam dan Fatimah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pukul 4.30 pagi semalam akibat kecederaan teruk di kepala.
Anak saudara Fatimah, Zaharuddin Ramli, 44, berkata, sebelum kejadian, dia bersama ibu saudaranya serta seorang anak lelakinya, Mohd. Aiman, 6, dari rumah abang iparnya, Ayub Idris, 50, di Sungai Mati, Langgar dan mahu pulang ke rumah di Kampung Alor Binjai, Pendang.
"Sampai di tempat kejadian, motosikal saya terasa berat sebelum saya terkejut melihat ibu saudara saya telah terbaring di jalan," katanya.
Katanya, dia kemudian memapah ibu saudaranya ke tepi jalan sebelum menghantarnya ke HSB dengan dibantu sebuah kenderaan yang kebetulan melalui jalan itu.
Zaharuddin memberitahu, dia tidak sedar ada motosikal lain mengekorinya kerana jalan di situ sunyi dan gelap. - Kosmo
No comments:
Post a Comment