Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata terdapat segelintir pentadbir masjid dan surau yang membenarkan individu tertentu menyampaikan ceramah serta khutbah tanpa tauliah walaupun mengetahui tindakan boleh dikenakan ke atas mereka.
"Kita dah jelaskan tentang keperluan tauliah dan beritahu (nazir dan jawatankuasa masjid) apa yang berlaku sekiranya mereka engkar," kata Dr Hasan ketika menjawab satu soalan lisan dalam sidang DUN Selangor pagi ini.
Dr Hasan menjelaskan, arahan berkenaan telah disampaikan secara bertulis dan juga secara lisan kepada pentadbir berkenaan.
"Kita memanggil nazir dan setiausaha dan beri nasihat serta ingatan, kita lebih kepada nasihat dan ingatan seperti ini," kata Dr Hassan yang juga pengerusi jawatankuasa tetap hal ehwal Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam itu.
"Kalau berlaku juga, kedudukan mereka sebagai nazir atau setiausaha (jawatankuasa masjid) mungkin akan dinilai semula kerana tidak mengikut peraturan," tambahnya ketika menjawab soalan ADUN Dusun Tua, Ismail Sani.
Dr Hasan juga berkata setakat ini seramai 977 penceramah ditauliahkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk mengajar agama dan menyampaikan khutbah di Selangor.
Pantau khutbah
"Angka ini berubah dari masa ke semasa. Ada yang tiga tahun, ada yang lima tahun. Kalau ada komplen dari kariah atau jemaah, ada tauliah itu yang digugurkan," tambahnya.
Menurut Dr Hasan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga tidak dapat memantau kesemua khutbah Jumaat di kira-kira 2,300 masjid dan surau di negeri itu kerana kekurangan kakitangan penguatkuasa.
"Mereka yang berkhutbah dengan tidak mengikut teks adalah kes terpencil dan bukan perkara besar. Jumlah keseluruhan masjid yang dibenar mengadakan solat Jumaat hampir 500 buah," katanya.
Jelasnya lagi, Jais hanya menerima "tak sampai tiga atau empat aduan sahaja" berhubung tindakan pentadbir masjid yang menjemput pembaca khutbah yang tidak mengikut skema yang ditetapkan Jais.
"Lebih berkesan lagi kalau Dusun Tua sendiri yang buat pemantauan. Kalau dapati ada (tidak baca teks Jais), terus e-mail, terus faks, terus SMS kepada kita," katanya lagi.
Ismail juga meminta pegawai penguatkuasa Jais berada di masjid bagi memantau keadaan kerana ada penceramah tidak bertauliah ini condong kepada mencerca parti tertentu mengakibatkan jemaah di Masjid Batu 14 Jalan Hulu Langat enggan bersolat Jumaat di situ.
sehubungan itu, Hasan berkata pejabat Jais di peringkat daerah hanya mempunyai lima pegawai penguatkuasa untuk memantau masjid di daerah masing-masing.
Oleh itu beliau berkata, wakil rakyat boleh memainkan peranan untuk memantau gejala itu dan melaporkannya kepada Jais jika ia berlaku.
"Kita junjung titah Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang menjadikan masjid sebagai zon larangan politik dan panduan utama kepada Jais," katanya.
Hasan juga berkata Jais telah mentauliahkan 60 orang pensyarah Kolej Ugama Islam Selangor (KUIS) sebagai pembaca khutbah atau penceramah jemputan bagi meningkatkan jumlah penceramah.
Tambahnya, Jais juga bercadang untuk memberikan keizinan kepada sejumlah 200 pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor untuk memberi khutbah di negeri itu.
Semangat baru
Jelasnya, ini adalah satu langkah baik kerana mereka diketahui berkelayakan dan juga mempunyai kemahiran bercakap di khalayak ramai.
"Dengan cara begini, mungkin satu cara baik untuk jemaah bila sekala sekali boleh dengar suara lain dan dapat semangat baru," kata Dr Hasan lagi.
Menjawab satu lagi soalan, beliau berkata kuasa untuk mengeluarkan tauliah juga tidak boleh "diturunkan" ke peringkat daerah kerana perlu melalui proses saringan yang ketat oleh jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Mais.
Dalam pada itu, Dr Hasan turut ditanya sebab di sebalik penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada awal bulan ini, atas dakwaan mengajar agama tanpa tauliah.
Namun speaker Teng Chang Khim bertindak menghalang beliau daripada menjawab soalan daripada ADUN PAS, Dr Shafie Abu Bakar.
Teng menolak soalan berkenaan yang dianggap menyimpang daripada soalan asal. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment