01 November 2009

Tiga dipercayai rakyat Malaysia mati di tengah Laut Sulawesi

JAKARTA 1 Nov. — Tiga daripada 11 penumpang sebuah kapal, yang dipercayai rakyat Malaysia, mati akibat kelaparan dan kepanasan selepas terapung-apung selama lapan hari dalam sebuah bot kecil yang kehabisan minyak di tengah laut Sulawesi.

Setiausaha Mukim Ogotua, Ilham berkata, mereka yang meninggal dunia dikenali sebagai Rosida berumur lingkungan 30-an; anaknya, Arisman, 2 dan seorang lagi kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Jonathan, 16 bulan.

Lapan lagi penumpang diselamatkan oleh kapal nelayan ke Tolitoli, Sulawesi Tengah setelah dijumpai terapung-apung di Laut Sulawesi kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan, hari ini, katanya seperti dipetik agensi berita Antara di Tolitoli.

Mereka yang menaiki sebuah bot laju kecil sedang menuju ke Tawi-tawi, Filipina lapan hari lepas tetapi tersadai di tengah laut setelah kehabisan minyak selepas gagal mencari arah tuju akibat kerosakan kompas. - Bernama

No comments:

Post a Comment