23 November 2009

Siswa UM kesal dikaitkan isu kepala babi

Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) kesal apabila beliau dikaitkan dengan siasatan kes meletakkan kepala babi di sebuah surau di kampus tersebut, Januari lalu, sewaktu ingin meremannya Jumaat lalu.

Muhammad Saufi Jelani, yang asalnya ditahan polis berhubung siasatan kes contengan "bini puaka" di sebuah dewan kuliah, berkata beliau bagaimanapun tidak disoal tentang insiden menggemparkan itu yang berlaku menjelang pilihan raya kampus itu awal tahun ini.

"Sekarang ini, saya berasa risau sebab nama saya sudah buruk kerana dikaitkan dengan isu kepala babi.

"Orang menganggap saya terlibat dengan isu itu. Itu yang saya sakit hati," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Menurut pelajar jurusan Al-Quran dan Hadis itu, polis menggunakan isu kepala babi hanya sebagai alasan untuk menyambung reman sehari terhadapnya pada Jumaat lalu.

Pelajar Akademi Pengajian Islam (API), yang ditangkap selepas menduduki kertas akhir peperiksaan hujung semester Khamis lalu, direman sehingga tengah hari Sabtu lalu.

Muhammad Saufi berkata, dalam tempoh tersebut beliau disoal siasat sebanyak tiga kali antaranya, mengenai hubungan dengan empat lagi suspek dan tertuduh kes tersebut khususnya Shazni Munir Mohd Ithnin.

Katanya, beliau mengakui memang mengenalinya kerana Shazni Munir presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM.

"Saya kenal dia, tapi bukan kenalan rapatnya," kata mahasiswa tahun dua itu.

Muhammad Saufi juga berkata, selain menyatakan maklumat peribadi dan latar belakangnya, beliau juga diminta memberikan pandangan mengenai insiden contengan di dewan kuliah utama API pertengahan tahun ini.

Sewaktu dibebaskan, kira-kira jam 1.30 petang di balai polis Jalan Pantai Baru dengan jaminan polis, kira-kira 30 mahasiswa menyambut pembebasannya.

Pada 16 Januari lalu, kepala babi yang dibelah dua ditemui diletakkan di atas bendera PAS di dalam surau API (foto kiri), beberapa hari sebelum pengundian bagi pemilihan barisan pemimpin Majlis Perwakilan Mahasiswa UM.

Kepala haiwan itu ditemui oleh seorang pelajar yang pergi ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

Polis asalnya menjejaki Muhammad Saufi berhubung siasatan kes awal, contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan (foto kanan).

Selain kes menceroboh dewan tersebut awal pagi 24 Jun lalu, siasatan polis juga berhubung simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk satu program di dewan tersebut.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum dewan tersebut digunakan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk program derma kanak-kanak Palestin, jam 9 pagi Rabu itu.

Muhammad Saufi Jelani merupakan pelajar terakhir yang ditangkap daripada sekumpulan lima orang berhubung kes ini.

Pada 30 Jun lalu, dua pelajar API dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli juga dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mahkamah menetapkan 7 hingga 11 Disember ini untuk perbicaraan kes kedua-dua pelajar ini.

Pada 18 Julai lalu, Shazni Munir - pelajar tahun akhir API - ditahan sebelum polis memberkas Muhammad Aizat Roslan, pelajar jurusan syariah, di kafeteria API pada 12 Ogos.

Dipercayai tiga pelajar ini, termasuk Muhammad Saufi, akan dibicarakan bersama dua tertuduh awal, Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen. - Malaysiakini

* Saja nak kenakan pro-pakatan.

No comments:

Post a Comment