Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sesi khas dengan kepimpinan parti itu sewaktu konvensyen PKR Perlis pada 11 Disember depan.
Timbalan Pengerusi PKR Perlis, Hashim Bakar berkata, konvensyen diadakan bertujuan untuk memperkemas dan menyuntik semangat ahli PKR di semua peringkat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, sesi khas dengan Anwar yang juga ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh akan diadakan pada jam 8 malam.
Mengenai konvensyen tersebut, Hashim berkata, isu melompat parti akan menjadi antara lima perkara utama yang akan dibincangkan.
Manakala ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dijangka turut membentangkan kertas kerja.
Sehingga Jun lalu, PKR Perlis berjaya menubuhkan 21 cawangan baru, menjadikan jumlah kesemuanya 26 setakat ini.
Hashim berkata, isu melompat parti menjadi tumpuan selepas bekas timbalan pengerusi PKR cabang Padang Besar, Zainurin Yahaya dan beberapa penyokongnya, bertindak keluar PKR dan menyertai Umno kelmarin.
Katanya, konvensyen anjuran PKR pusat dengan kerjasama PKR negeri itu, mensasarkan penyertaan kira-kira 500 ahli dan penyokong parti itu.
Di samping itu, katanya, sebuah kaunter akan dibuka untuk mendaftar dan menyemak keahlian dalam PKR.
"Kita juga akan selitkan acara penyerahan kepada Datuk Seri Anwar, borang ahli Umno yang akan menyertai PKR. Kita dah kumpul mereka. Ia sebagai formaliti sahaja," katanya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment