KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat senjata api yang digunakan seorang lelaki dalam kejadian menembak dan menjadikan pemilik salon di Ampang Waterfront 3 sebagai tebusan, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata polis sedang mengenalpasti dari mana lelaki berusia 23 tahun itu memperoleh pistol Walter automatik itu.
"Kita sedang siasat bagaimana lelaki yang juga kekasih pemilik salon itu memiliki senjata api berkenaan, sama ada ia dibeli di dalam atau luar negara. "Berdasarkan pasport suspek, lelaki itu sering berulang alik ke luar negara terutama Thailand. Namun kita akan siasat bagaimana dia memperoleh senjata itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, polis juga cuba menghubungi keluarga suspek menerusi nombor telefon yang diberi lelaki itu namun panggilan tidak berjawab.
Abd Jalil berkata, beliau percaya suspek cuba mengelirukan polis namun siasatan lanjut akan dijalankan sejurus mendapat perintah reman.
Abd Jalil berkata, suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes curi motosikal ketika berusia 17 tahun iaitu pada 2003.
"Suspek juga akan dibawa untuk pemeriksaan mental selepas mendapat perintah reman dari mahkamah," katanya.
Semalam, kerana cemburu buta, lelaki terbabit sanggup bertindak ganas menjadikan kekasihnya yang berusia 35 tahun itu sebagai tebusan selain melepaskan tiga tembakan ke siling salon itu.
Suspek yang berkenalan dengan kekasihnya itu pada awal tahun ini bekerja sebagai pemandu dan pengawal peribadi kepada wanita yang juga adalah ibu tunggal itu sebelum kedua-dua mereka menjalin hubungan cinta. - Bernama
No comments:
Post a Comment