26 November 2009

Penduduk Shah Alam sokong JAIS

SHAH ALAM 24 Nov. - Penduduk Shah Alam hari ini menyerahkan memorandum menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak meluluskan tauliah sementara kepada Ahli Parlimen kawasan itu, Khalid Abdul Samad untuk menyampaikan ceramah dan khutbah agama.

Memorandum yang ditandatangani 1,000 penduduk termasuk dari Seksyen 6, 7, 9, 13, 20 serta Subang Jaya diserahkan kepada Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi di pejabatnya di sini pada pukul 9.30 pagi.

Memorandum itu diserahkan oleh Yang Dipertua Persatuan Penduduk Seksyen 7, Mohd. Badrudin Othman bersama empat lagi wakil penduduk di kawasan daerah tersebut.

Mohd. Badrudin ketika ditemui berkata, pihaknya memandang serius aktiviti ceramah dan khutbah agama oleh individu tanpa tauliah di kawasan itu terutama di masjid serta surau.

Tambahnya, pentauliahan daripada JAIS penting bagi memastikan individu yang berceramah dan menyampaikan khutbah mempunyai kelayakan selain tempat ibadat tidak disalahgunakan untuk tujuan politik sehingga boleh mengundang perpecahan umat Islam di daerah itu.

''Maka, tindakan JAIS tidak meluluskan tauliah sementara kepada Khalid ini adalah tepat kerana Ahli Parlimen Shah Alam ini sebenarnya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang pengajian Islam.

''Malah, Khalid juga sebelum ini pernah membuat kenyataan bertentangan serta tidak sensitif terhadap pendirian umat Islam apabila menyokong tuntutan Badan Injil Borneo untuk menggunakan kalimah Allah bagi menggantikan perkataan 'god' dalam kitab mereka.

''Selain itu, Khalid juga didapati cuba menjadi 'juara' masyarakat bukan Islam dengan menyokong pembinaan sebuah kuil di Seksyen 23 di kawasan majoriti umat Islam yang berakhir dengan siri penentangan besar-besaran dari penduduk di kawasan itu," ujarnya.

Katanya, beliau difahamkan Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam sebelum ini dikatakan banyak menyampaikan ceramah dan khutbah agama yang menyelitkan unsur-unsur politik serta hasutan.

Mohd. Badrudin mahu supaya JAIS terus bertegas dalam melaksanakan penguatkuasaan tauliah penceramah di Selangor supaya penyebaran Islam di negeri itu terpelihara daripada dicemari dengan unsur-unsur yang merosakkan ummah.

Kata beliau, pihaknya bersedia membantu JAIS menguatkuasakan peraturan tauliah itu dengan memantau aktiviti ceramah dan khutbah di masjid serta surau di kawasan masing-masing.

''Dalam pertemuan kira-kira 10 minit dengan Pengarah JAIS, beliau meminta kita membantu melaporkan jika ada aktiviti salah guna masjid dan surau di kawasan masing-masing. Kita sentiasa bersedia untuk membantu JAIS dalam hal ini," jelasnya.

Pada 14 Oktober lalu, JAIS tidak meluluskan tauliah sementara terhadap Khalid sebagai penceramah bebas di negeri itu atas sebab-sebab tapisan keselamatan.

Keputusan itu dibuat setelah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengemukakan satu surat kepada JAIS pada 8 Oktober 2008 yang meminta jabatan itu membatalkan pentauliahan Khalid kerana dikatakan mempunyai rekod jenayah. - Utusan

* Orang Umno tu.

No comments:

Post a Comment