04 November 2009

Penangkapan Dr Asri satu konspirasi

Penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin baru-baru ini disifatkan sebagai satu konspirasi jahat yang dirancang oleh pihak yang tidak mahu melihat Islam itu didaulatkan sebagai satu wadah perjuangan.

Menurut Ketua Dewan Ulama PAS kawasan Sik, Ustaz Abu Bakar Baikalani Abu Hassan tindakan penahanan Dr Asri itu adalah suatu tindakan yang telah dirancang sebelum serbuan dilakukan.

"Daripada pengalaman saya sebelum ini sebagai seorang pegawai agama setiap pertuduhan haruslah mempunyai bukti yang kukuh sebelum suatu tindakan serbuan atau penangkapan dilakukan. Namun begitu dalam kes yang melibat bekas mufti Perlis ini ia dilihat seperti suatu konspirasi kerana tindakan mengepung tempat kuliah diadakan dengan anggota polis yang begitu ramai seolah-olah menggambarkan penyampai kuliah itu adalah seorang penjenayah.

"Bukan ini caranya untuk bertindak ke atas seorang ilmuan dan penceramah berilmu yang juga seorang ulama bagi menghalang beliau dari menyampaikan kuliah. Penggunaan anggota keselamatan yang begitu ramai sudah dapat memberi satu gambaran kepada masyarakat bagaimana tindakan ini telah dirancang bagi menjatuhkan imej Dr Asri yang dilihat tidak berpihak kepada mana-mana parti politik itu."

Manakala Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Halizal Alias menyifatkan tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS)itu adalah suatu tindakan terdesak yang didalangi oleh Barisan Nasional untuk mengekang kemaraan alim ulama bagi menyampaikan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat.
Menurut beliau lagi penahanan tanpa tuduhan keatas Dr Asri itu adalah suatu perkara yang amat memalukan.

"Terdapat banyak kaedah penahanan yang boleh dilakukan dengan cara terhormat dan lebih sopan. Bukannya ini kali pertama kuliah diberikan oleh Dr.Asri. Malah beliau juga adalah seorang bekas mufti yang masih lagi aktif dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat dan tidak bercanggah dengan kehendak agama."

"Sekiranya ada pertuduhan sekalipun cara dan tindakan yang diambil oleh pihak JAIS dan polis itu sudah dapat melambangkan betapa kesukaran yang mereka hadapi apabila melihat Islam itu sudah mulai mendapat sokongan dan dokongan daripada masyarakat negara ini.

Dalam pada itu Naib Yang Dipertua II, Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang, Mohd Hafiz Noordin kesal dengan tindakan yang telah diambil ke atas Dr Asri.

Menurut beliau terdapat banyak cara yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menangani masalah guru-guru agama atau penceramah yang tidak diberikan tauliah ini.

"Sebagai sebuah organisasi yang menegakkan makruf dan nahi mungkar sudah pasti sebagai penguasa mereka mempunyai cara yang terbaik untuk bertindak. Bukannya dengan cara mengepung dengan begitu ramai anggota keselamatan yang membawa imej seolah-olah Dr Asri itu adalah orang yang amat merbahaya sedangkan yang mengikuti kuliah beliau adalah juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor." - Siasah

* UmnoBN tidak terlibat langsung di sini. JAIS tidak pandai 'pusing ayat' seperti ahli akademik, mereka menjalankan tugas demi keharmonian umat Islam , khususnya di Selangor.

No comments:

Post a Comment