KUALA LUMPUR 2 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan motif penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, tindakan menahan Mohd. Asri adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan Pusat.
"Saya tidak tahu motif penahanan Mohd. Asri yang bercakap berterus-terang dalam ceramahnya dan disokong dengan dalil serta nas-nas yang konkrit berdasarkan al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
"Saya tidak tahu apa yang didakwa mengenai fahamannya tetapi banyak lagi penceramah yang memberi ceramah tidak pula ditahan, tetapi Mohd. Asri ditahan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib mengulas penahanan Mohd. Asri ketika berceramah di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang yang dihadiri kira-kira 100 orang malam tadi.
Perdana Menteri menegaskan, persoalan mengenai motif penahanan Mohd. Asri perlu ditanya kepada kerajaan negeri Selangor.
Mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu hanya bersedia berunding dengan UMNO ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib memberitahu, UMNO bersedia berunding kerana ia merupakan tuntutan agama.
Najib memberitahu, UMNO sentiasa mempunyai pendirian jelas bahawa selagi rundingan itu membawa kebaikan maka bersedia untuk mengadakan rundingan.
"UMNO bersedia berunding kerana ia merupakan tuntutan agama, kami buat kerana tuntutan agama bukan kerana politik, itu adalah pendirian kita," katanya.
Perdana Menteri berkata, rundingan antara UMNO dan Pas tidak bermakna kedua-dua pihak terikat tangan. - Utusan
* Siapa yang ada kuasa pecat pengarah JAIS?
No comments:
Post a Comment