LONDON 9 Nov. - Mayat seorang jururawat Britain yang telah meninggal dunia 30 tahun lalu di Arab Saudi dikebumikan hari ini selepas disimpan selama sedekad di sebuah rumah mayat di Britain.
Upacara pengkebumian Helen Smith, yang mayatnya disimpan di rumah mayat sejak tahun 1979 itu diadakan di tanah perkuburan Yorkshire, bandar Wakefield, 300 kilometer di barat laut London.
Bapanya, Ron Smith, 83, telah menolak untuk mengadakan upacara pengkebumian sehingga sekarang kerana beliau menyangkal laporan pihak berkuasa bahawa kematian anaknya itu disebabkan kemalangan.
Pegawai penyiasat Arab Saudi berkata, Helen Smith telah ditemui mati di sebatang jalan pada waktu pagi selepas beliau secara tidak sengaja terjatuh daripada balkoni ketika berusia 23 tahun.
Ron Smith percaya anak perempuannya itu telah dibunuh dan telah `menyimpan’ mayatnya dengan harapan dapat mencari bukti forensik bagi membongkar apa yang dikatakannya sebagai satu helah.
Beliau memberitahu akhbar tempatan bahawa beliau dan bekas isterinya telah membuat keputusan untuk mengkebumikan anaknya sebelum kedua-dua mereka meninggal dunia, meskipun beliau masih belum dapat menerima punca kematian anak perempuannya itu. - AP
No comments:
Post a Comment