30 November 2009

Mais bincang isu tarik balik tauliah Khalid

Status tauliah mengajar agama ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Khamis ini.

Pembantu wakil rakyat PAS itu Mohd Jamil Abd Rahim berkata, jaminan tersebut diberikan oleh Ahmad Zaki Arsyad, ketua penolong pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah ketika mereka bertemu di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.

Mohd Jamil bersama sekumpulan ahli kariah Shah Alam menyerahkan memorandum kepada jabatan agama negeri bagi membantah tindakannya menarik balik tauliah mengajar agama kepada Khalid tahun lepas.

Dalam surat Jais bertarikh 10 Julai 2008, Khalid diberikan tauliah sementara mengikut kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardu ain dan berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan pada 28 Oktober tahun itu susulan tapisan keselamatan polis Selangor yang mendapati Khalid mempunyai "rekod jenayah".

Rekod jenayah itu bagaimanapun tidak dijelaskan oleh Jais dan juga polis negeri.

Pengarah Jais Datuk Mohamed Khusrin awal bulan ini dilaporkan berkata tauliah Khalid ditarik dengan alasan pemimpin PAS Shah Alam itu "tidak sesuai membaca khutbah."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Jamil berkata memorandum berkenaan yang disokong dengan lebih 1,000 tandatangan ahli-ahli kariah di kawasan parlimen tersebut bertujuan membantah kenyataan Mohamed Khusrin tersebut. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment