23 November 2009

MAINPP: Siti Hasnah seorang Islam

Surirumah S Banggarma atau nama Islamnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah yang mendakwa status agamanya ditukar ketika kecil, adalah seorang Islam, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Shabudin Yahaya.

Shabudin diminta mengulas kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini yang siasatannya mendapati Banggarma telah diislamkan bapanya sendiri sebelum dimasukkan ke Rumah Kanak-kanak Taman Bakti, Kepala Batas 20 tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shabudin berkata, kesimpulan siasatan JKM hari ini telah memudahkan dan memperjelaskan lagi kedudukan agama wanita itu.


Katanya, dokumen pengislaman Siti Hasnah (foto) - yang turut berada dalam simpanan MAINPP - menguatkan lagi hujah bahawa surirumah itu adalah seorang Islam.

"Soal dia mengamalkan ajaran Islam atau tidak, itu bukan isu. (Ukuran) Islam itu pada syahadahnya. Yang Islam pun kita tengok ramai yang tidak mengamalkan ajaran Islam," kata Shabudin yang juga ADUN Permatang Berangan.

Ditanya berhubung tindakan lanjut MAINPP, Shabudin berkata, lazimnya dalam kes seumpama itu, pihaknya akan menghantar kakitangan bagi memberikan kaunseling dan berdakwah kepada pihak terbabit.

"Ini macam kes Siti Fatimah Tan dulu, berpuluh-puluh kali kita pergi menemuninya. Kita ada kronologi itu. Kalau ada yang kata kita tidak peduli, itu tidak benar.

"(Dakwaan) itu hujah mereka yang sokong pihak yang hendak keluar Islam," jelasnya.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang, 39, sebagai bukan lagi seorang Islam.

Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang kemudiannya menolak rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan tersebut.

Sementara itu, mengenai status perkahwinan Siti Hasnah, Shabudin berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada mahkamah syariah.

Bagaimanapun, tambahnya, status agama surirumah tersebut mestilah disahkan terlebih dahulu sebelum diputuskan pula status perkahwinannya.

"Terdapat dua keadaan, sama ada perkahwinan itu tidak sah atau suaminya diberikan peluang memeluk Islam. Hakim akan putuskan perkara ini,"katanya.

Katanya, keengganan wanita itu merujuk kepada mahkamah syariah boleh menyebabkan masalah pendaftaran perkahwinannya dan kelahiran anak-anaknya berpanjangan.- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment