21 November 2009

Ketua kumpulan Berong mati ditembak polis

SUBANG JAYA 20 Nov. - Seorang penjenayah warga asing yang juga ketua kumpulan Berong dan diburu kerana terlibat dalam lebih 30 kes samun bersenjata di Selangor sejak dua tahun lalu, mati ditembak oleh polis di Subang Bestari di sini malam ini.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, kenderaan dinaiki suspek yang dikenali sebagai Herry Berong, 48, bertembung dengan kereta peronda polis sebelum berbalas tembakan berdekatan sebuah bank di Sri Damansara.

Polis pernah melumpuhkan kumpulan penjenayah warga asing itu dua tahun lalu tetapi suspek utama tersebut dapat meloloskan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan berkata, suspek yang menaiki kereta Proton Waja bertindak melarikan diri menghala ke arah Shah Alam setelah menyedari kehadiran polis.

Menurutnya, sebaik tiba di selekoh Subang Bestari, polis cuba menghalang kenderaan suspek bagaimanapun dia melepaskan satu das tembakan ke arah polis.

"Bagi mempertahankan diri, pihak polis melepaskan dua das tembakan dan mengenai dada suspek mati di tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Hasnan memberitahu, siasatan awal polis menemui sepucuk pistol 0.32 milimeter dan tiga bilah parang di dalam kenderaan suspek.

"Suspek dipercayai cuba melakukan jenayah dengan mencari mangsa di sekitar bank di Sri Damansara terbabit.

"Polis mengesahkan kenderaan yang dinaiki suspek merupakan kereta curi berdasarkan nombor plat palsu dan dilaporkan hilang Mei lalu di Desa Jaya," katanya.

Beliau memberitahu, modus operandi kumpulan Berong ialah menyamun mangsa yang baru keluar dari bank.

"Suspek akan melakukan jenayah secara berkumpulan dan melanggar kereta mangsa sebelum menyamun menggunakan pistol dan terdapat beberapa mangsa yang dicederakan," katanya.

Tambahnya, polis kini melancarkan operasi memburu lima atau enam orang lagi saki baki kumpulan itu. - Utusan

No comments:

Post a Comment