16 November 2009

Jururawat disiasat lakukan serangan seks

LONDON - Seorang jururawat tentera disiasat berhubung dakwaan serangan seksual ke atas seorang tahanan ketika mangsa ditahan di markas tentera Britain di Iraq.

Jururawat tersebut adalah askar wanita Britain pertama yang menghadapi dakwaan salah laku oleh tahanan Iraq.

Aduan tersebut adalah antara 33 dakwaan baru penderaan, serangan seksual ke atas banduan lelaki dan layanan buruk fizikal yang disiasat Kementerian Pertahanan Britain.

Bapa kepada tiga anak, Hussain Hashim Khinyab, 35, mendakwa ditangkap oleh askar Britain pada April 2006 dan jururawat tersebut cuba melakukan hubungan seks dengannya di kem Shaaibah ketika dia dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan.

Namun jururawat itu tidak sempat melakukan perbuatan keji tersebut apabila menyedari seseorang memasuki bilik, kata peguam Hussain.

Dia kemudian merayu kepada Hussain supaya tidak melaporkan insiden itu kepada doktor yang bertugas.

Pelbagai tuntutan mula bergema sejak tercetusnya kontroversi berhubung salah laku pegawai tentera AS terhadap: tahanan Iraq di penjara Abu Gharib pada 2004.

Bukti kekejaman dikuatkan lagi dengan tersiarnya imej yang menunjukkan askar AS, Lynndie England mengheret seorang banduan Iraq dalam keadaan bogel dan leher dirantai seperti anjing.

Hussain, yang akan memberi kenyataan lengkap kepada peguamnya bulan depan, mendakwa pegawai tentera wanita dan lelaki turut melakukan hubungan seks di hadapannya ketika dia dipindahkan ke kem tersebut.

Menurutnya, tindakan itu sengaja dilakukan untuk menghina kepercayaan Islam yang dianuti tahanan Iraq. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment