TEHERAN 15 Nov. – Iran mewujudkan satu unit polis yang berperanan menghapuskan laman-laman web politik dan mendakwa pihak yang dianggap menyebarkan penipuan, lapor media Iran semalam.
Tindakan itu dilihat sebagai salah satu langkah yang bertujuan menyekat pihak pembangkang daripada meneruskan kempen mereka.
Kebanyakan laman web pembangkang telah diharamkan, namun penubuhan unit dengan 12 anggota polis yang akan melaporkan dakwaan kepada pejabat pendakwa itu, jelas bertujuan memberi tamparan lebih hebat kepada pergerakan yang enggan menerima pemilihan semula Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada Jun lalu.
“Pihak berkuasa sedar Internet merupakan satu daripada saluran terhad bagi pembangkang dalam memastikan suara mereka didengar. Mereka mahu mendiamkan suara pembangkang,’’ kata seorang pemberita, Akbar Montajabi, yang menyifatkan langkah itu sebagai sekatan terbaru yang dikenakan kepada media di negara berkenaan.
Kolonel Polis, Mehrdad Omidi yang diberi tanggungjawab mengetuai unit jenayah Internet itu berkata, unit baru itu akan mencari pesalah yang ‘menghina dan menyebarkan penipuan’, satu istilah meluas yang digunakan badan kehakiman bagi menerangkan aktiviti-aktiviti pembangkang.
“Memandangkan penggunaan Internet yang meluas, polis terpaksa berdepan dengan jenayah yang berlaku di laman-laman web.
“Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengawasi Internet dan menguruskan jenayah seperti penipuan, penghinaan dan penyebaran penipuan,’’ katanya seperti yang dipetik laporan berita tempatan.
Pihak berkuasa Iran telah mengharamkan kebanyakan laman web berkaitan pembangkang Iran atau yang mengandungi artikel menyokong pergerakan reformasi. Bagaimanapun, pembangkang terus mencipta laman web baru dalam masa beberapa hari selepas laman web lama disekat.
Pembangkang juga tidak boleh mengakses media kerajaan dan hanya menyebarkan mesej-mesejnya secara meluas melalui Internet.
Akhbar-akhbar di Iran juga diberi amaran dari semasa ke semasa agar tidak menyiarkan artikel yang menyokong pemimpin pembangkang.
Radio dan televisyen Iran dikawal secara langsung oleh pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, yang sangat menyokong pemilihan semula Ahmadinejad. – AP
No comments:
Post a Comment