SHAH ALAM 13 Nov. - Dua pembekal udang yang beroperasi dari Aceh ke Selatan Thailand dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar kanabis seberat 36,220 gram, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin menjatuhkan hukuman itu terhadap Halim Nor, 45, rakyat tempatan dan rakannya yang berasal dari Aceh, Sabri Alias, 38, selepas mendapati kedua-duanya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam pembelaan mereka.
Semasa membacakan penghakimannya Mohd. Zaki berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai pemilikan eksklusif terhadap kanabis yang disorok di belakang kusyen sebuah kereta Mercedes Benz.
Katanya, kewujudan dadah itu juga diketahui oleh Halim dan Sabri kerana mereka bertindak memindahkan kanabis itu ke dalam but kereta Proton Wira di sebuah bengkel sebelum mereka ditahan polis.
''Sukar bagi mahkamah untuk menerima keterangan pembelaan kedua-dua tertuduh bahawa mereka tidak tahu tentang ketulan mampat (kanabis) tersebut.
''Walaupun kereta Mercedes Benz yang rosak itu didakwa bukan milik mereka, kedua-duanya tahu lokasi tepat kereta itu ditinggalkan sebelum ia ditunda ke bengkel,'' katanya.
Kedua-duanya didapati mengedar 36,220 gram kanabis di DOHC Power Auto Services, No. 14, Jalan Pandan Indah 4/38, Pandan Indah, Ampang dekat sini pada pukul 4.15 petang, 20 Oktober 2001.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Halim diwakili peguam, Ghazali Taib manakala peguam Rusli Zain mewakili Sabri.- Utusan
No comments:
Post a Comment