KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan Borang 2 dalam sistem undi pos memandangkan penggunaan borang itu penting dalam memastikan kertas undi dikeluarkan kepada pihak yang sebenar dan berhak menerimanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Borang 2 akan memudahkan pihak berkenaan menentukan kertas undi pos yang sah, sekiranya berlaku penipuan dalam pengeluaran undi pos semasa pilihan raya.
"Tanpa menulis nombor siri kertas undi dalam Borang 2, maka kertas undi pos yang tidak sah sukar untuk dikesan. Inilah faktor utama kenapa Borang 2 perlu dikekalkan," katanya dalam jawapan bertulis kepada Abdul Aziz Abdul Kadir (PKR-Ketereh) di Parlimen di sini hari ini.
Abdul Aziz meminta kerajaan menyatakan faktor yang menghalang penghapusan Borang 2 dalam sistem undi pos.
Peraturan mewajibkan pengundi pos mengisi Borang 2 sebagaimana yang dikehendaki di dalam Peraturan 12, PeraturanPeraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 di mana seseorang pengundi pos diwajibkan untuk mengisi nama penuh, nombor kad pengenalan dan juga nombor kertas undi untuk dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Selain itu, Mohamed Nazri berkata penggunaan borang itu juga tidak bercanggah dengan Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Malahan seksyen tersebut memperkukuhkan lagi usahausaha untuk memelihara kerahsiaan pengundian dalam pilihan raya.
"Seksyen tersebut dengan jelas meminta supaya semua petugas pilihan raya supaya menjaga kerahsiaan dan menetapkan hukuman penjara satu tahun atau denda RM3,000 bagi mereka yang melanggar peruntukan seksyen tersebut," katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment