15 November 2009

Bomoh Selangor kepanasan

SEJAK Wak Mail, bomoh puja jerangkung dicekup oleh jabatan agama dalam satu operasi khas awal bulan ini, kehidupan bomoh-bomoh di Selangor sudah tidak seperti dulu lagi. Mereka kini dalam senarai golongan yang perlu ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana melakukan perbuatan khurafat.

Setakat ini, 20 orang bomoh dalam buruan mereka. Bomoh-bomoh ini hebat dalam ilmu masing-masing. Ada yang diperlukan pelanggan untuk menilik nombor ekor, jalan pintas untuk jadi jutawan; tidak kurang juga minta minyak pengasih untuk pikat gadis yang cantik-cantik atau yang terlalu sukar dijinakkan. Paling banyak untuk pelaris perniagaan bagi memajukan bisnes yang semakin hendak tutup dalam keadaan ekonomi yang belum pulih-pulih lagi daripada sakit kronik.

Ekoran pendedahan JAIS sehari selepas Wak Mail, bomoh puja jerangkung yang 'disegani' di Klang ditangkap bersama pelanggan-pelanggannya, barulah kita tahu bahawa negeri yang dikata sudah maju ini, banyak juga penduduknya bergantung nasib kepada bomoh.

Mengikut cerita Wak Mail, dia hanya bantu orang susah. Seperti kebanyakan bomoh lain, Wak Mail menuntut ilmu dari tanah seberang. "Wak tak guna ayat al-Quran tapi seru dan puja hantu jerangkung untuk dapat nombor ekor,'' Wak Mail yang ada dua isteri dan 10 anak itu membuka rahsia yang sudah lama disimpannya itu.

Kini semua orang sudah tahu, ada seorang ahli politik bergelar Datuk yang juga guna khidmat bomoh puja jerangkung itu untuk menang dalam pilihan raya.

Yang ini masih menjadi rahsia Wak Mail dan misteri kepada penulis. Siapa Datuk itu?

Namun begitu, kita juga jangan percaya bulat-bulat cerita fasal Datuk itu, takut-takut kita kena main dek bomoh puja jerangkung itu.

Penulis tak sangka angka bomoh yang diburu oleh JAIS agak besar juga. Agaknya di mana bomoh-bomoh itu bersembunyi sekarang? Mungkin bomoh-bomoh ini makin aktif lagi menjalankan profesion mereka, menolong orang. - Kosmo

No comments:

Post a Comment