27 November 2009

Biro Tata Negara tidak berniat jahat

MUAR 26 Nov.— Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kursus Biro Tata Negara (BTN) tidak bermotifkan doktrinasi politik sebaliknya ia menerapkan semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat selaras dengan konsep 1Malaysia.

"Kursus BTN tidak bertujuan untuk membawa peserta-peserta kepada UMNO dan Barisan Nasional. Ia tidak mempunyai niat yang jahat, ia mempunyai tujuan-tujuan yang baik,” katanya kepada pemberita di Pagoh dekat sini pada majlis penyerahan lembu untuk dikorban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan Selangor melarang kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu daripada menghadiri kursus BTN berkuatkuasa serta merta dengan alasan kononnya kursus BTN adalah satu proses doktrinasi oleh kerajaan Barisan Nasional.

Muhyiddin berkata, kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah diberi gambaran yang salah tentang BTN.

"Masyarakat dan syarikat-syarikat swasta tidak sepatutnya dihalang daripada menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan BTN,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment