27 November 2009

Banjir di Jeddah ragut 77 nyawa

JEDDAH 26 Nov. – Hujan lebat dan banjir menyebabkan sekurang- kurangnya 77 orang maut dan beribu-ribu jemaah haji terkandas di bandar pelabuhan Jeddah pada permulaan ibadah haji semalam.

Sesetengah mangsa mati lemas atau terbunuh dalam insiden jambatan runtuh dan nahas jalan raya, manakala pasukan penyelamat melaporkan, mereka menyelamatkan 900 orang yang terperangkap dalam banjir.

Perjalanan sebilangan jemaah haji ke Mekah turut tergendala apabila sebatang lebuh raya menuju ke kota suci itu ditutup kerana ditenggelami air.

Hujan lebat luar biasa semalam, menyebabkan jalan-jalan dan bangunan dinaiki air di Jeddah, pintu masuk utama bagi jemaah haji.

Kira-kira tiga juta jemaah dari luar negara sudah tiba di Arab Saudi untuk menunaikan haji tetapi tiada seorang pun daripada mereka dilaporkan menjadi korban banjir.

Seorang saksi melaporkan dia melihat beberapa mayat bersebelahan sebuah bas yang terbalik dalam hujan lebat.

Kesesakan teruk masih berlaku di jalan-jalan utama malam tadi selepas hujan berhenti dan air banjir surut.

Pegawai kerajaan, Jassem al-Yaquout berkata, dua jambatan di lebuh raya ke Mekah runtuh manakala agensi berita rasmi SPA melaporkan, beberapa kawasan di Mekah terputus bekalan elektrik.

Di Mekah, jemaah melakukan tawaf dengan membawa payung yang biasanya digunakan untuk berlindung daripada panas matahari.

Sesetengahnya bimbang mereka tidak dapat bermalam di kawasan perkhemahan di Mina, dalam perjalanan yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW lebih 14 abad lalu.

“Kami menginap di dalam khemah buat masa sekarang. Hujan lebat menyebabkan koridor yang dibentang permaidani merah bertukar menjadi laluan air yang menghanyutkan tin-tin minuman ringan yang kosong,” kata jemaah dari Maghribi, Zohra Nasef yang mengerjakan haji buat kali kedua.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mansour Turki berkata, sebilangan jemaah tidak mendapat tempat di dalam khemah dan pihaknya terpaksa mendirikan khemah tambahan bagi memenuhi keperluan mereka. – Reuters

No comments:

Post a Comment