RIYADH 3 Nov. - Arab Saudi memberi amaran kerajaannya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan semasa musim haji, selepas pegawai kanan mereka memberitahu Teheran agar tidak mempolitikkan ibadah tahunan itu di kalangan para jemaah haji di Mekah.
Kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat mingguan Kabinet Arab Saudi berkata, "kerajaan tidak membenarkan mana-mana pihak menganggu keselamatan jemaah haji atau cuba memecah-belahkan perpaduan umat Islam," lapor pegawai agensi berita SPA.
Kabinet menyeru ratusan ribu jemaah yang mula berkumpul di bandar suci Madinah dan Mekah agar 'tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu ibadah haji'.
Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyebut Iran, tetapi ia dikeluarkan seminggu selepas Menteri Haji, Fouad al-Farsi berkata, 'Iran tidak sepatutnya mengambil kesempatan melalui jemaah hajinya untuk menyebarkan agenda politik mereka'.
Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei dan Presidennya, Mahmud Ahmadinejad mendakwa jemaah haji Iran yang berfahaman Syiah didera oleh kerajaan Arab Saudi.
Ahmadinejad pada 26 Oktober lalu memberi amaran bahawa Teheran akan 'mengambil langkah sewajarnya' jika jemaah Iran dikenakan sekatan, manakala Ayatollah Ali mendakwa wujudnya tindakan 'menghina dan layanan buruk terhadap orang Syiah'.
Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh turut terlibat dalam perang mulut antara kedua-dua negara itu.
Beliau memberitahu harian Ash-Sharq Al-Awsat minggu lepas bahawa membuat tuduhan palsu akan hanya mengelirukan jemaah haji dan ia adalah berdosa.
"Kepada sesiapa yang mahu menggunakan ibadah haji untuk menyebarkan propaganda bagi kepentingan dan kehendak peribadi, dengan mengambil kesempatan pada acara ini, adalah melakukan sesuatu yang dilarang oleh Islam,'' katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment