18 November 2009

Anwar fail rayuan

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menyekatnya daripada memperoleh semua dokumen penting berkaitan pendakwaan kes liwat bekas pembantunya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memfailkan dua notis rayuan melalui peguamnya, Sankaran Nair di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, dekat sini.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 November lalu yang membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi di sini agar beliau dibekalkan dengan dokumen bagi tujuan penyediaan pembelaannya.

Turut dirayu ialah keputusan mahkamah tersebut yang menolak rayuan balas beliau supaya diberikan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, yang merupakan pengadu dalam kes itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hasan Lah memutuskan demikian setelah berpendapat Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah tidak membenarkan sebarang penemuan kepada bukti kes yang akan mendedahkan pendekatan pendakwaan dalam membuktikan tuduhan terhadap Anwar.

Pada 16 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan pemimpin pembangkang itu agar pendakwa raya membekalkan dokumen-dokumen penting bagi membantu beliau menyediakan pembelaannya.

Ia termasuk rakaman percakapan Mohd. Saiful, Dr. Osman Abdul Hamid dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), pemilik kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga lagi saksi, laporan perubatan pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Pusrawi, laporan kimia selain senarai saksi pendakwaan.

Ia juga melibatkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari pondok pengawal di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara dan kawasan lif Blok 11 kondominium itu di antara 25 Jun dan 27 Jun tahun lalu.

Anwar menghadapi tuduhan meliwat Mohd. Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu. - Utusan

* Bila nak bicara ni Saiful.

No comments:

Post a Comment