NIBONG TEBAL: Lima perompak kedai emas di Sungai Bakap, dekat sini, sempat mengagihkan hasil rompakan mereka bernilai lebih RM500,000 di bawah pokok rambutan sebelum melarikan diri dengan dua kereta, semalam.
Suspek yang melarikan diri dengan kereta Proton Wira dan Toyota Camry hanya meninggalkan tukul yang digunakan untuk memecahkan cermin pameran kedai emas itu.
Sebelum itu, dalam kejadian kira-kira jam 10.07 pagi, lima suspek memakai topeng, termasuk seorang memakai topi keledar berpenutup muka, mengambil masa kurang seminit untuk melarikan antara 12 hingga 13 dulang emas dari premis terbabit.
Kejadian berlaku ketika premis itu baru dibuka dan hanya ada tiga kakitangan tetapi tiada pelanggan.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata empat suspek, termasuk seorang bersenjatakan pistol, masuk ke kedai emas itu manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.
Katanya, suspek terus mengacukan pistol dan mengarahkan kakitangan kedai itu berdiam diri sebelum memecahkan cermin pameran dengan tukul.
“Suspek mengambil masa hanya beberapa saat sebelum melarikan antara 12 hingga 13 dulang emas bernilai lebih RM500,000.
“Walaupun premis terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), wajah suspek sukar dicam kerana mereka memakai topeng.
“Kami tidak pasti suspek warga tempatan atau asing tetapi berdasarkan maklumat kakitangan kedai, suspek berkulit gelap. Yang nyata, suspek merancang dengan teliti sehingga mempunyai masa untuk mengagihkan hasil rompakan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Shafien berkata, sebaik berjaya melarikan emas dari kedai itu, geng perompak terbabit mengagihkan hasil rompakan sesama sendiri di bawah pokok rambutan, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
“Tukul yang dipercayai digunakan dalam rompakan turut ditemui di bawah pokok itu,” katanya.
Menurutnya, tiada saksi kejadian kerana ketika itu keadaan lengang. - Mymetro
* Malaysia, syurga bagi perompak dan penyamun.
No comments:
Post a Comment