13 November 2009

Abu Hassan diarah hadir sidang DUN

ALOR SETAR 12 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif supaya tetap hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 17 November ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, biarpun Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail telah menghantar surat membatalkan jemputan bagi menghadiri sidang DUN kepada Abu Hassan, wakil rakyat itu perlu menghadiri persidangan berkenaan.

"BN berpegang kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kerusi itu tidak kosong dan Abu Hassan masih wakil rakyat yang sah bagi DUN Kota Siputeh," ujarnya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas tindakan Abdul Isa yang telah menghantar surat pembatalan jemputan kepada Abu Hassan untuk menghadiri sidang DUN itu.

Abdul Isa mendakwa, tindakan itu diambil kerana beliau tidak mengiktiraf ADUN Kota Siputeh itu sebagai anggota dewan selepas gagal menghadiri sesi DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenarannya dan ia menyalahi Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK).

Menurut Muhyiddin, speaker DUN tidak boleh menghalang Abu Hassan daripada menghadiri sidang DUN kerana tidak ada pilihan raya kecil yang dijalankan di kawasan tersebut.

"Saya nasihatkan Abu Hassan hadir ke persidangan dewan nanti kerana siapa tahu mungkin ada pihak yang sengaja mencari jalan untuk menafikan hak Abu Hassan dalam dewan.

"Dia (Abu Hassan) masih ADUN yang sah dan dia perlu menjalankan tanggungjawabnya sehingga keputusan tersebut dicabar oleh mahkamah," katanya.

Kemelut kerusi DUN Kota Siputeh timbul apabila Abdul Isa mahu Abu Hassan mengosongkan kerusi itu berikutan kegagalannya hadir dua kali berturut-turut sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu tanpa kebenaran.

Bagaimanapun pada 1 September lalu, SPR memutuskan kerusi DUN Kota Siputeh masih disandang Abu Hassan dengan alasan kedua-dua mesyuarat itu bukan berturut-turut di dalam penggal yang sama seperti diperincikan dalam Perkara 51 UTKK.

Berikutan itu, Abdul Isa menerusi peguamnya memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan SPR pada 1 Oktober lalu.

Abdul Isa juga memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN Kota Siputeh ekoran kegagalannya menghadiri dua sidang tersebut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.-Utusan

No comments:

Post a Comment