SETELAH hampir 90 hari penyanyi dan pelakon Ziana Zain melahirkan anak kembarnya, dia masih belum bersedia untuk ditemubual oleh media sehingga selesai berpantang 100 hari.
Ibu kepada sepasang kembar lelaki dan perempuan, Siti Nur Kasih dan Muhammad Ariel ini juga tiada niat untuk menyorok anak-anaknya yang dilahirkan awal tiga minggu daripada tarikh yang sepatutnya, hujung Ogos atau awal September.
Menurut pengurusnya, Lisa Aryanti Tahir, Ziana belum bersedia untuk berhadapan dengan media dan menunjukkan bayi kembarnya atas alasan keadaan tidak mengizinkan.
“Sekarang, dia tiada pembantu untuk menjaga anak-anaknya dan pada November depan dia akan jalani rawatan badan pula. Jadi, berilah dia masa kerana kali ini juga pengalamannya juga berbeza kerana pertama kali dia mendapat bayi kembar,” ujarnya ketika dihubungi.
Lisa menganggap setiap cerita yang dikeluarkan seperti ‘Ziana sorok anak kembar’ ibarat usik-usik manja dan dia sendiri memahami yang Ziana tidak ambil kisah tentang cerita seperti itu.
Malah tambahnya, mungkin orang di luar tidak pernah melalui atau merasai keadaan seperti Ziana sekarang.
“Ziana dan bayi kembarnya sedang dalam keadaan sihat. Ziana melahirkan anak-anaknya secara pembedahan, jadi perlu mengambil masa yang lama untuk ‘recovery’.
“Dia juga mahu lebih relaks dan tak nak stres. Semasa dia berpantang, suami dia banyak membantu dengan mengambil cuti panjang,” beritahu Lisa lagi.
Kali terakhir Lisa melawat Ziana adalah pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Cerita Lisa, waktu itu Ziana nampak sihat dan berat badannya menurun kepada yang asal manakala dua orang bayi kembarnya pula bertambah ‘berisi’. - Mstar
No comments:
Post a Comment