Angkatan Muda (AMK) PKR akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah (ICAC) Hong Kong esok berhubung penangkapan seorang ahli perniagaan Malaysia tahun lalu, yang dikatakan kenalan rapat Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman.
Menurut ketua penerangan AMK, Lee Khai Loom, laporan tersebut akan dibuat di pejabat ICAC oleh ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Pada 14 Ogos lalu, ahli perniagaan tersebut, yang dikenali sebagai Michael Chia, ditahan di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong kerana disyaki melakukan pengubahan matawang Singapura bernilai RM16 juta sebelum menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.
"ICAC Hong Kong telah menyiasat kes tersebut," katanya, sambil menambah AMK akan meminta badan itu supaya meneruskan siasatan lanjut terhadap kes tersebut.
"Dokumen-dokumen yang (didakwa) menunjukkan berlaku aktiviti haram, iaitu aktiviti pembalakan haram yang mungkin menyumbang kepada pengubahan wang itu, juga akan diserahkan," katanya.
Ekoran penahanan Chia, sejurus sebelum pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos tahun lalu, yang dimenangi ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, para pemimpin DAP telah membuat aduan polis terhadap ketua menteri Sabah itu.
Musa kemudiannya menafikan sebarang pembabitan dalam kes tersebut. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment