10 October 2009

Urut kasih sayang

ALOR STAR: “Tak nak urut ke? Masuklah...kalau nak urut bolehlah masuk, lagipun pagi-pagi ni orang tak ramai,” pujuk seorang gadis tukang gunting ‘istimewa’ di sebuah premis di bangunan lama di Jalan Langgar, di sini.

Gadis itu yang dikenali sebagai Zie cuba menggoda wartawan Harian Metro yang menyamar pelanggan di lokasi ‘zon merah’ itu selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan tidak bermoral di kawasan berkenaan.

Dianggap istimewa kerana gadis genit terbabit antara segelintir tukang gunting yang menawarkan perkhidmatan tambahan kepada pelanggan dahaga seks di beberapa kedai gunting di bangunan berkenaan.

Tanpa menyedari misi sebenar wartawan, Zie terus rancak memberitahu, setiap kali menggunting rambut, pelanggan dikenakan bayaran RM10 manakala mereka yang mahu diurut pula dikenakan RM30, tetapi jika mahukan ‘urut kasih sayang’ bayarannya RM50.

Bagaimanapun, apabila diajukan soalan mengenai urut kasih sayang itu, Zie hanya tersenyum sebelum memberitahu ia boleh diketahui apabila masuk ke dalam bilik.
Ketika dibawa meninjau bilik berkenaan, Zie menunjukkan dua tilam yang diletakkan di lantai manakala di sebelahnya beberapa botol kecil dipercayai minyak yang bakal digunakan ketika berurut.

“Untuk sekali khidmat seks bayarannya RM150 saja, tapi perkhidmatan itu bukan untuk semua orang...kita tengok pelanggan juga,” katanya.

Tinjauan mendapati, jika dilihat dari luar ia kelihatan seperti sebuah kedai gunting rambut biasa, tetapi sebaik melangkah kaki ke dalam, pelanggan sebenarnya ditawarkan perkhidmatan tambahan dan layanan istimewa yang dianggap ‘luar biasa’ kepada sesetengah pelanggan baru pertama kali datang.

Lelaki yang ingin mendapatkan layanan mesra termasuk urutan badan dan batin atau seks perlu melafazkan ayat ‘manja’ sebagai kod tertentu seperti ‘kasih sayang’ ketika berbincang dengan pekerja gunting rambut di premis berkenaan.

Difahamkan, aktiviti maksiat di bangunan itu berlarutan sejak 10 tahun lalu sehingga menjadi tumpuan ramai daripada pelbagai peringkat usia termasuk remaja dan warga emas untuk melampiaskan nafsu bukan saja daripada wanita, tetapi juga pondan.

Menyedihkan apabila tindakan sebahagian pekerja gunting rambut itu seperti pelacur murahan dengan menarik tangan lelaki yang lalu-lalang di bangunan itu dengan secara terbuka mengajak mendapatkan perkhidmatan tambahan seks seperti urut batin.

Berdasarkan maklumat diperoleh, pelanggan yang inginkan khidmat seks boleh berbincang ketika berurut dengan kebiasaan pekerja kedai gunting berkenaan akan meminta sehingga RM150, tetapi ia masih boleh dirunding dan diturunkan kepada harga diskaun sehingga RM30.

Siasatan mendapati setiap kedai gunting dikendalikan beberapa wanita berusia 20-an hingga 30-an dan apa yang menyedihkan, kebanyakannya berbangsa Melayu.

Tinjauan juga mendapati beberapa kedai gunting mempunyai bilik khas berukuran 20 meter persegi manakala ruang depan digunakan untuk bergunting yang dilengkapi dengan set televisyen.

Di satu sudut disediakan bilik air untuk pelanggan membersihkan diri selepas mengadakan hubungan seks.

Pelanggan akan dijemput duduk dan berbual di ruang tamu sebelum mereka menggunting rambut atau terus ke bilik khas untuk berurut.

Ada pelanggan pada mulanya datang untuk bergunting saja tetapi, tergoda sehingga terpaksa berbelanja lebih apabila ‘terkulai’ dalam bilik khas berkenaan.

Seorang pekerja wanita berusia 20-an di sebuah lagi kedai gunting berkata, ketika stesen bas beroperasi di situ memang ramai pelanggan, tetapi selepas berpindah ke Kompleks Shahab Perdana kira-kira tujuh tahun lalu, pelanggan mereka mula berkurangan.

“Walaupun orang kurang, pelanggan masih ada,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Alor Star, Datuk Khazali Din, ketika dihubungi kesal apabila ada segelintir pekerja kedai gunting yang sanggup melakukan perbuatan tidak bermoral seperti itu.

“Kami (Majlis Bandaraya Alor Star) memberi amaran supaya perbuatan itu dihentikan serta-merta. Kami akan hantar pegawai penguat kuasa meninjau lokasi itu dan jika didapati benar lesen pengusaha kedai akan ditarik balik.

“MBAS memberi kebenaran pengusaha kedai gunting itu mencari nafkah halal, tetapi disalahgunakan. Kami akan ambil tindakan tegas dalam perkara ini,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment