25 October 2009

Tentera Pakistan tawan kampung ketua militan

Operasi 3 hari kepung kubu Hakimullah di Waziristan Selatan

PESHAWAR: Tentera kerajaan berjaya menawan kampung asal pemimpin Taliban Pakistan, Hakimullah Mehsud di Waziristan Selatan, satu perkembangan dianggap berupaya mematahkan semangat kumpulan pemberontak di wilayah yang menjadi kubu kuat mereka itu.

"Pasukan keselamatan menguasai Kotkai dalam operasi semalaman semalam dan kerja pembersihan masih berlangsung," kata seorang pegawai keselamatan yang tidak mahu namanya didedahkan.

"Ia ada satu perkembangan besar kerana kawasan itu adalah kubu kuat Taliban dan kampung asal Hakimullah Mehsud dan Qari Hussain," katanya, merujuk kepada ketua Taliban itu dan orang kanannya yang dikenali sebagai jurulatih pengebom berani mati.

Seorang lagi sumber keselamatan berkata tentera kerajaan mengepung Kotkai sejak tiga hari lalu dan jeti pejuang dan helikopter tempur digunakan untuk mengebom kedudukan pejuang Taliban.

"Pasukan keselamatan memasuki Koktai lewat kelmarin selepas mereka berjaya menawan beberapa kawasan tinggi yang penting," kata sumber itu.

Tentera kerajaan melancarkan operasi di Waziristan Selatan mulai Sabtu lalu, dengan kerahan 30,000 askar untuk menentang kira-kira 10,000 hingga 12,000 militan Taliban dan Al-Qaeda yang dipercayai bertanggung jawab terhadap serangan ganas yang dilancarkan terhadap kemudahan tentera dan awam di seluruh Pakistan.

Wilayah barat laut separa autonomi Pakistan itu sebahagiannya dijadikan kubu oleh pejuang yang melarikan diri dari Afghanistan selepas Amerika Syarikat mengetuai tentera Barat mencerobohi negara jiran itu pada lewat 2001. - AFP

No comments:

Post a Comment