Speaker Dewan Negeri Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Datuk Abu Hasan Sarif sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Siputeh.
Permohonan itu yang disertakan bersama afidavit sokongan Abdul Isa difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Chooi & Company.
Beliau menamakan Abu Hasan dan SPR sebagai responden, lapor Bernama.
Abdul Isa mahu mahkamah mengeluarkan perintah untuk mengistiharkan Abu Hasan dari BN bukan lagi ADUN kawasan berkenaan berikutan kegagalan beliau menghadiri dua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Berikutan itu, Abdul Isa, 61, memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi DUN bagi kawasan Kota Siputeh adalah kosong dan seterusnya mahu SPR mengadakan pilihan raya kecil.
Speaker itu juga mahu satu perintah injunksi dikeluarkan oleh mahkamah untuk menghalang Abu Hasan atau ejen-ejennya daripada menjalankan tugas sebagai ADUN kawasan itu.
Selain itu, Abdul Isa juga menuntut ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam pilihan raya umum Mac 2008, PAS telah memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri di Kedah, DAP satu kerusi, Parti KeAdilan Rakyat (PKR) empat kerusi, BN sebanyak 14 kerusi dan calon bebas menang satu kerusi.
Dalam permohonannya, Abdul Isa mendakwa keputusan SPR untuk mengekalkan Abu Hasan sebagai ADUN Kota Siputeh serta tindakan Abu Hasan yang tidak hadir pada sidang dewan akan mengganggu tugas dan kewajipan Abdul Isa sebagai Seaker DUN Kedah untuk memastikan pentadbiran dijalankan dengan lancar.
"Keputusan SPR dan tindakan Abu Hasan telah membawa kehinaan kepada DUN Kedah, dan mungkin akan mengakibatkan kekecohan kepada prosiding-prosidingnya, apabila ADUN yang telahpun hilang kelayakan sebagai ADUN masih dapat kononnya menonjolkan diri mereka sebagai seorang ADUN," katanya.
SPR pada 1 September lalu memutuskan bahawa tiada kekosongan pada kerusi DUN Kota Siputeh dan kerusi itu masih disandang oleh Abu Hassan yang memenanginya dalam pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.
Keputusan itu dibuat berikutan pemakluman yang diterima SPR pada 17 Ogos lalu dari Abdul Isa berhubung kekosongan luar jangka yang dikatakan berlaku bagi kerusi DUN Kota Siputeh.
SPR dalam membuat keputusan itu mendapati Abu Hassan tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.
Sementara surat cuti sakit Abu Hasan sebagai penjelasan kepada ketidak hadirannya pada sidang DUN negeri Kedah yang diadakan pada 9 Ogos lalu, dan mendapati kelewatannya untuk menghantar surat cuti sakit itu kepada Abd Isa selewat-lewatnya pada 9 Ogos lalu tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment