29 October 2009

Skandal video Lingam disiasat SPRM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini berkata kes video VK Lingam masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan tidak lagi disiasat polis.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis satu perenggan kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) yang ingin tahu perkembangan terkini penyiasatan polis dan SPRM berhubung skandal tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada sesi Parlimen minggu lepas berkata bahawa Jabatan Peguam Negara tidak akan mengambil tindakan terhadap hasil penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video VK Lingam kerana tiada tindakan lanjut diperlukan (NFA) untuk dua kertas siasatan.

Mohamed Nazri berkata NFA membabitkan kertas siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 mendapati tiada keterangan yang menunjukkan terdapat kesalahan jenayah dilakukan berhubung isu penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim.

Katanya, NFA juga diputuskan bagi kertas siasatan mengikut subperenggan 8(1)(e)(iv) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang mendapati tiada suspek yang boleh dikenal pasti melakukan kesalahan mengikut subperenggan itu berhubung pengendalian dokumen terperingkat dalam pertimbangan pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi.

Mohamed Nazri berkata berkaitan kertas siasatan mengikut perenggan 4(a) Akta Pencegahan Rasuah 1961 (sebelum dimansuhkan), saksi penting bagi melengkapkan penyiasatan ke atas kes mengikut perenggan itu, yang membabitkan isu percutian bekas ketua hakim negara Tun Mohd Eusoff Chin ke New Zealand, belum dapat dikesan.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Peguam Negara mengarahkan supaya seorang saksi penting dikesan bagi melengkapkan penyiasatan kes itu tetapi sehingga kini saksi itu tidak dapat dikesan. BERNAMA

No comments:

Post a Comment