05 October 2009

Seru pengikut taubat nasuha

SHAH ALAM 2 Okt. – Bekas pekerja Zoo Negara yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad hari ini menyeru para pengikut ajaran sesat pimpinannya bertaubat nasuha serta kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Abdul Kahar, 59, juga meminta semua ajaran yang telah dicetus dan disampaikan olehnya sebelum ini dianggap terbatal, batil dan palsu serta perlu dilupakan secara mutlak.

Pengakuan secara bertulis yang ditandatangan oleh Abdul Kahar itu dibaca oleh peguam syarie, Zulkifli Che Yong di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini sebelum beliau mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman terhadap anak guamnya.

‘‘Pesalah (Abdul Kahar) mengambil kesempatan dalam mahkamah yang mulia dengan rendah diri mengakui kesalahan yang dilakukan adalah besar dan telah insaf, sedar serta bertaubat kepada Allah dan semoga taubat nasuha itu diterima oleh Allah.

‘‘Pesalah mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua umat Islam, pihak-pihak berkuasa terutama jabatan agama Islam, pihak polis dan penjara Malaysia atas kesilapan yang dilakukan serta mencetuskan kontroversi, kekeliruan serta fitnah terhadap Islam.

‘‘Pesalah juga mengambil kesempatan dengan kehadiran media untuk meminta sesiapa yang terikut dengan perkara batil yang dibangkitkan oleh pesalah juga hendaklah bertaubat, insaf dan melupakannya secara mutlak,’’ kata Zulkifli.

Abdul Kahar, 59, didakwa atas lima tuduhan termasuk mengisytiharkan dirinya sebagai ‘rasul’ orang Melayu akhir zaman mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Selepas menghilangkan diri lebih tiga tahun, dia yang berjaya diberkas pada 16 September lalu menukar pengakuan kepada bersalah selepas seminggu berada dalam tahanan.

Pada 24 September lalu, mahkamah membenarkan Abdul Kahar dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan 10 penjamin kakitangan kerajaan dalam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke atas.

Dia bagaimanapun terpaksa ditahan di penjara sehingga hukuman terhadapnya diputuskan selepas gagal mengemukakan 10 penjamin yang memenuhi kriteria tersebut.

Sementara itu, Zulkifli memaklumkan, Abdul Kahar melakukan kesalahan tersebut akibat kejahilan kerana dia bukan seorang yang berpelajaran tinggi selain tidak mendalami ilmu agama serta tidak memahami undang-undang.

Sehubungan itu, beliau memohon anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara atau sebatan atas alasan bahawa insaf dan taubat tertuduh adalah satu proses pemulihan dan reformasi yang merupakan antara tujuan penghukuman.

‘‘Hakikatnya tertuduh perlu dipulihkan, bukan dihukum atau dizalimi. Tertuduh seharusnya diberi peluang menginsafi dan memperbetulkan diri serta bertaubat kepada Allah.

‘‘Tertuduh sepatutnya diletakkan di kalangan golongan yang ada asas agama yang boleh memberi pengajaran dan bimbingan agama sepanjang masa, bukan dikelilingi banduan atau pesalah yang dihukum mengikut Kanun Keseksaan,’’ ujar beliau.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut memohon agar penjamin Abdul Kahar, Nor Chahaya Abd. Ghani dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana gagal memastikan kehadiran Abdul Kahar selain beliau sendiri tidak tampil di mahkamah.

Nor Chahaya merupakan seorang daripada penjamin Abdul Kahar sebelum tertuduh menghilangkan diri tiga tahun lalu.

Wanita itu semasa diminta memberi penjelasan memohon maaf serta memaklumkan dia gagal hadir kerana tidak mahu memberi alasan yang sama iaitu Abdul Kahar enggan ke mahkamah walau disuruh berbuat demikian.

Hakim syarie, Abu Zaky Mohammad menetapkan Rabu ini untuk mendengar pihak pembelaan menyambung rayuan serta hujahan balas pihak pendakwaan sebelum hukuman terhadap Abdul Kahar diputuskan.

Beliau juga memaklumkan akan membuat keputusan tentang permohonan pendakwaan terhadap Nor Chahaya pada tarikh tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment