Proses pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bermula sebaik sahaja pusat-pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi ini.
Hujan turun awal pagi tetapi berhenti sejurus selepas jam 8 pagi. Bagaimanapun, hujan renyai turun semula kira-kira 40 minit kemudiannya.
Terdapat 13,994 pemilih, termasuk 4,604 pemilih pos, yang layak mengundi dalam pilihanraya kecil kali ini.
Pengundi pos telah selesai membuang undi dua hari lalu, manakala pengundi biasa seramai 9,060 orang, akan membuat pilihan mereka hari ini di lapan pusat pengundian yang melibatkan 18 saluran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 80 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Sabtu meminta petugas BN supaya menanggalkan jaket dan menutup payung mereka yang mempunyai logo parti.
Menurutnya, tempoh kempen tamat tengah malam tadi, maka tiada lagi bahan kempen seperti baju dan payung boleh digunakan hari ini.
Pilihan raya DUN Bagan Pinang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Tan Sri Isa Samad dengan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.
Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor, pada 4 September lalu. Azman mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.
Polis telah menasihatkan pengundi khususnya supaya mematuhi arahan anggota pasukan itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas, yang dijangka sesak berikutan kehadiran pelawat yang berkunjung ke pantai peranginan di situ pada hujung minggu.
Pengundian akan ditutup pada pukul 5 petang dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua lapan pusat mengundi terbabit.
Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan MPPD dan keputusannya
dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment