SHAH ALAM 10 Okt. - Polis menafikan dakwaan seorang ibu bahawa anaknya telah dibelasah oleh polis sewaktu ditahan di lokap Balai Polis Seri Kembangan bagi membantu siasatan kes curi motosikal dan samun baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menegaskan, sebaik sahaja menerima laporan yang dibuat wanita itu, Suga Devi Veeriyah, 40, di Balai Polis Dang Wangi pada 20 Ogos lalu, suspek berusia 17 tahun segera dihantar untuk pemeriksaan doktor.
"Hasil pemeriksaan, kami dapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan seperti yang didakwa ibunya.
"Sehubungan itu, saya menasihatkan sesiapa sahaja supaya jangan membuat tuduhan melulu terhadap polis. Malah kes tahanan tersebut masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Komuniti U9 di perumahan Cahaya SPK sini hari ini.
Suga Devi dalam laporannya baru-baru ini mendakwa anaknya dibelasah teruk oleh anggota polis sehingga mengalami bengkak di muka, lebam serta hidung berdarah malah sukar membuang air kecil.
Berdasarkan rekod, remaja itu pada awalnya ditahan di Balai Polis Seri Kembangan sebelum dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya dan Balai Polis Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
Suga Devi difahamkan pernah menemui anaknya selama 10 minit ketika ditahan di Balai Polis Seri Kembangan.
Khalid berkata, suspek mungkin memberitahu ibunya bahawa dia telah dibelasah ketika mereka diberi peluang bertemu di balai tersebut.
"Kami belum berhasrat untuk mendakwa sesiapa dalam perkara ini tetapi jika tuduhan seperti ini berterusan, polis mungkin mengambil tindakan kerana melakukan tuduhan palsu terhadap pasukan polis," tegasnya.
Sementara itu, mengenai balai polis komuniti tersebut, Khalid memberitahu, terdapat lapan anggota polis bertugas di situ sejak ia mula beroperasi pada 1 September lalu.
Katanya, selain di U9, khidmat balai polis itu turut melibatkan kawasan perumahan di U10, U14 dan U15 yang merangkumi penduduk kira-kira 5,000 orang.
Beliau memuji langkah SPK Berhad yang menyediakan tempat untuk dijadikan balai sementara sehingga premis tetap dibina.
Usaha seperti itu katanya, dapat membantu polis memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat dan jenayah dapat dikurangkan.
"Balai polis komuniti ini adalah yang kelima di daerah Shah Alam dan kini terdapat lebih daripada 30 balai seperti itu di seluruh Selangor," ujarnya. - Utusan
* Belasah tahanan dalam lokap tindakan tidak bertamadun.
No comments:
Post a Comment