PESHAWAR 9 Okt. - Sekurang-kurangnya 49 terbunuh dalam satu serangan bom kereta di bandar ini hari ini yang kerap menjadi sasaran serangan militan Taliban dan al-Qaeda di Pakistan.
Letupan itu di kawasan membeli-belah berdekatan Khyber Bazaar, barat laut negara ini turut mencederakan lebih 100 orang, kata Menteri Kesihatan wilayah, Zahir Ali Shah kepada pemberita.
Ia adalah serangan keenam di bandar ini sejak empat bulan lalu dan berlaku selepas terbunuhnya ketua Taliban Pakistan, Baitullah Mehsud dalam serangan pesawat tanpa pemandu pada Ogos lalu.
"Sebanyak 49 mayat dibawa ke hospital. Tiga daripadanya wanita dan tujuh kanak-kanak.
"Kesemua yang terbunuh adalah orang awam. Hanya dua orang polis cedera dalam serangan tersebut," kata pendaftar di Hospital Lady Reading, Dr. Zafar Iqbal.
Pegawai polis, Mohammad Karim menganggarkan bom tersebut bersaiz 100 kilogram, sementara ketua skuad pemusnah bom, Shafqat Malik mengesahkan ia diletupkan oleh pengebom berani mati.
Bahan letupan itu dipasang pada pintu dan turut dimuatkan dengan peluru mesingan bagi meragut lebih ramai mangsa, kata Malik lagi. - AFP
No comments:
Post a Comment